Dengan pelancaran Ford Mustang Mach-E pada penghujung tahun lalu. siri Mustang akhirnya menyertai dunia kenderaan elektrik. Model terbaik yang ditawarkan pada waktu ini dilengkapi motor 459 kuasa kuda dan bateri yang memberikan jarak operasi sehingga 482 kilometer. Kerana Mustang adalah sinonim dengan prestasi, Mustang Mach-E 1400 telah diperlihatkan oleh Ford.
Mustang Mach-E 1400 hanyalah sebuah kenderaan prototaip yang dilengkapi tujuh motor elektrik berbanding dua sahaja pada versi standard. Konfigurasi tiga motor elektrik di hadapan dan empat motor elektrik ini memberikan gabungan 1400 kuasa kuda.
Kuasa yang tinggi kemudian boleh dibahagikan kepada keempat-empat roda ataupun hanya roda belakang. Bagi menunjukkan kemampuan Mustang Mach-E 1400. Ford menghasilkan video ia berentap dengan pelbagai model Mustang termasuk versi NASCAR.
Pada waktu ini Mustang Mach-E 1400 hanya sekadar prototaip untuk menjalankan ujian ke atas bateri dan versi prestasi tinggi di masa hadapan. Ini ialah Mustang Mac-E prestasi tinggi kedua dihasilkan selepas Mustang Cobra Jet 1400 yang merupakan sebuah kereta leret.