Cari @ Amanz

Sony PlayStation 5 (Sony PS5) akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini dan lebih mengujakan, pengawal permainan ini dikatakan kini sedang diuji di laman SIRIM. Bagi menambah keterujaan anda semua, Truly Exquisite kini mengesahkan bahawa mereka akan hadir dengan Sony PS5 dalam edisi lebih premium bersama kemasan emas 24K.

Tinjauan kami menerusi laman web mereka, Truly Exquisite dilihat hadir dengan imej pengolokan yang memperlihatkan sejumlah aksesori Sony PlayStation 5 seperti pengawal DualSense dan fon kepala dihiasi dengan saduran emas. Ia dipadankan pula dengan kemasan warna hitam dan pencahayaan lampu biru menjadikannya nampak unik, sekaligus menjadi tumpuan ramai.

Sebagai pilihan lain, mereka turut hadir dengan penawaran edisi lebih murah menerusi salutan emas 18K Rose Gold dan Platinum. Pun begitu, ia masih sekadar pengumuman awal dan hanya terbuka untuk daftar minat sahaja. Jadi, sekiranya anda terasa mahu nampak bergaya mungkin anda boleh pertimbangkan untuk memilikinya satu.

Imbas kembali, Sony PS5 dikatakan hadir dalam dua variasi konsol – satu menyertakan sokongan cakera fizikal, dan satu lagi adalah versi digital sepenuhnya. Berkemungkinan versi digital hadir dengan harga sedikit murah, selain memfokuskan kepada kemudahan pengguna menikmati permainan melalui muat-turun permainan secara digital.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd