Tesla adalah jenama kereta elektrik yang amat popular. Inovasi yang mereka hasilkan memberi inspirasi kepada lebih banyak pengeluar kenderaan hadir dengan pesaing yang kompetitif. Salah satu produk Tesla yang dapat sambutan hangat dan pra-tempahan yang banyak adalah Cybertruck. Ia adalah sebuah lori pikap dengan rekaan bersegi, ranggi seakan kereta dalam permainan video. Selama ini rekaan lori pikap adalah klise dan kelihatan sama sahaja, tetapi Cybertruck membawakan satu kelainan yang memberikan perasaan yang bercampur.
Dengan sambutan Cybertruck yang hebat, Tesla dikatakan akan hadir dengan kereta elektrik dengan rekaan berasaskan lori pikap baru mereka. Bukan itu sahaja, Tesla turut merancang untuk hadir dengan sebuah kereta kompak – yang mana mungkin akan lebih mudah untuk hasilkan dan lebih mampu milik. Dalam persidangan kewangan Tesla untuk suku kedua 2020, Elon Musk ada katakan adalah perkara yang munasabah untuk fikirkan mereka akan hadir dengan dua kenderaan sebegitu – tetapi bila dan apakah kenderaan tersebut tidak lagi akan didedahkan dan akan memberi fokus kepada produk sedia ada terlebih dahulu.
Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan apakah kenderaan baru Cybertruck akan datang.