Tatkala Malaysia dikejutkan dengan keperluan untuk membayar wang untuk mendapatkan lesen perfileman walaupun untuk kegunaan media sosial, TikTok baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan tiba dengan sebuah dana untuk pencipta kandungan mereka.
Dinamakan TikTok Creators Fund, platform video pendek tersebut akan melaburkan wang sebanyak $200 juta (~RM800 juta) untuk pencipta-pencipta popular kandungan platform tersebut.
Untuk layak menerima sebahagian daripada dana ini, TikTok menggariskan beberapa garis panduan, seperti umur pencipta kandungan haruslah sekurang-kurangnya 18 tahun keatas, dan jumlah pengikut minima yang belum ditetapkan lagi.
Pendaftaran untuk dana Creators Fund ini dilaporkan akan dibuka pada bulan Ogos kelak, dan dana ini akan dikeluarkan untuk pencipta-pencipta kandungan sepanjang tahun.
Sayangnya dana ini hanya untuk pencipta kandungan TikTok di Amerika Syarikat sahaja. Ini mungkin untuk meningkatkan jumlah pencipta kandungan di negara tersebut yang semakin menghadapi cabaran kekangan daripada kerajaannya.