Cari @ Amanz

Sebanyak 65% permukaan bumi masih lagi belum diterokai kerana ia terletak di bawah permukaan laut. Pelbagai penemium biologi dan geologi baharu ditemukan setiap kali kajian dilakukan. Seperti angkasa lepas, permukaan laut adalah batasan terakhir manusia. Untuk memastikan kajian permukaan laut jangka panjang dapat dilakukan dengan lebih mudah, stesen kajian Proteus akan dibangunkan.

Rekaan stesen Proteus ini dihasilkan oleh Fabien Cousteau dan Yves Behar. Fabien ialah cucu kepada Jacques Cousteau yang merupakan pencipta sistem SCUBA yang merealisasikan impian manusia untuk “bernafas” seperti ikan di dalam air. Proteus ialah tiga kali ganda lebih besar berbanding stesen kajian bawah laut terbesar yang pernah dibina sebelum ini dengan ruang yang cukup besar untuk memuatkan 12 saintis pada satu-satu masa. Mereka semua akan mempunyai pod penginapan peribadi yang selesa.

Diilhamkan dari rekaan kulit siput, Proteus mempunyai rekaan bertingkat yang melingkar. Terdapat dok kering untuk pendaratan kapal selam bagi membawa krew dan bekalan makanan. Buat pertama kali juga, terdapat ruang untuk menanam sayur-sayuran bawah laut pertama dunia. Dengan pelbagai kemudahan terbina, saintis dapat tinggal di dalam Proteus selama beberapa minggu secara berterusan.

Fabine Cousteau ingin membina Proteus 60 kaki di bawah permukaan laut Curacao yang terletak di kepulauan Caribbean. Walaupun rekaan telah dihasilkan, beliau kini sedang mengumpul dana bagi merealisasikan impian yang diberi nama jolok stesen angkasa antarabangsa bawah laut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd