Samsung Galaxy Watch 3 Boleh Menjawab Telefon Dan Mengambil Gambar Menggunakan Gestur

Samsung Galaxy Watch 3 Boleh Menjawab Telefon Dan Mengambil Gambar Menggunakan Gestur

Diterbitkan pada July 25, 2020 oleh .

Jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch 3 akan dilancarkan pada acara Unpacked 5 Ogos hadapan secara atas talian. Dari beberapa imej yang telah tertiris, jam tangan ini akan mengembalikan semula sistem kawalan bezel berputar. Tetapi selain itu beberapa fungsi baharu yang tidak disokong sebelum ini akan diperkenalkan.

Menurut laporan XDA Developer, Galaxy Watch 3 akan menyokong beberapa kawalan gestur baharu. Fungsi-fungsi ditemui di dalam aplikasi Galaxy Wearable yang baru dikemaskini. Pengguna boleh menjawab panggilan telefon dengan menggenggam tangan. Panggilan juga boleh dibisukan dengan memutarkan pergelangan tangan. Akhir sekali kamera boleh diarahkan untuk mengambil gambar dengan menggenggam dan membuka tangan.

Galaxy Watch 3 juga akhirnya mempunyai kemampuan mengesah sekiranya pengguna terjatuh. Apabila ini berlalu, jam akan berdering selama seminit. Jika penggera tidak dimatikan lokasi terakhir akan dihantar kepada kontak kecemasan yang telah ditetapkan oleh pengguna.

Seperti biasa fungsi-fungsi ini akan diberikan kepada Galaxy Watch 3 terlebih dahulu. Bagi pemilik model jam tangan pintar Samsung terdahulu, fungsi-fungsi ini biasanya diberikan selepas beberapa bulan.



TIPS & ULASAN