Carian
Liga Bolasepak Malaysia Akan Menyaman iFlix Kerana Melanggar Kontrak
July 27, 2020 Effi Saharudin

Perjanjian di antara iFlix dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Januari 2018 pada awalnya dilihat sebagai lebaran baru yang akan meningkatkan akses peminat kepada pasukan yang diminati. Tetapi dalam masa kurang tiga tahun, masalah mula timbul dan menurut laporan laman TwentyTwo13, pihak MHL akan menyaman iFlix kerana pelanggaran kontrak.

Menurut sumber TwentyTwo13, MFL akan meminta ganti rugi bernilai jutaan ringgit atas kegagalan iFlix memenuhi kontrak. Pada asalnya iFlix bersetuju menandatangani perjanjian selama 10 tahun bernilai RM300 juta untuk menawarkan penstriman secara langsung perlawanan Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

 

iFlix MalaysiaSelain perlawanan secara langsung, pengguna turut boleh menonton semula sorotan perlawanan, temuramah dengan pemain serta kandungan tambahan bertemakan bola sepak. Ketika perjanjian ditandatangan, MFL menjadi antara liga terawal dunia yang menawarkan penstriman perlawanan bola secara langsung menggunakan aplikasi dan menarik sekali secara percuma.

Sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan sehingga perkhidmatan iFlix mengalami gangguan perkhidmatan pada hari pertama penstriman ditawarkan. Ketika artikel ditulis, kandungan bola sepak tempatan menerusi portal mini Football Malaysia on iFlix tidak lagi boleh diakses.

iFlix mengalami pelbagai masalah kewangan sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan ia telah diambil alih Tencent. Selain berhadapan saman oleh MFL, iFlix juga didakwa tidak melakukan pembayaran kepada penerbit filem Daulat yang ditawarkan ekslusif pada platform tersebut.

Komen