Carian
Samsung Melancarkan Dua Fon Kepala AKG Dengan Pembatalan Hingar
July 27, 2020 Effi Saharudin

Sejak mengambil alih AKG, Samsung secara perlahan-lahan mengeluarkan aksesori audio yang menawarkan kualiti audio yang tinggi. Pada hujung minggu lalu mereka telah melancarkan dua fon kepala AKG dengan salah satunya dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif.

AKG Y600 NC ialah fon kepala nirwayar belakang tertutup dengan sistem pembatalan hingar aktif. Apabila mengesan ia ditanggalkan dari kepala, muzik akan dijeda secara automatik dan bersambung semula apabila dipakai semula. Dengan sekali caj, AKG Y600 NC boleh beroperasi selama 25 jam. Menerusi sokongan pengecasan pantas, pengecasan selama 10 minit mampu memberikan waktu operasi selama 4 jam menerusi port USB-C.

Seperti Galaxy Buds+. Y600 NC juga mempunyai mod Ambient yang membenarkan pengguna mendengar audio dari luar ketika muzik didengari. Kawalan muzik adalah menerusi tombol fizikal manakala kawalan audio pula adalah menerusi roda berputar seperti Microsoft Surface Headphone 2. Walaupun direka untuk beroperasi secara nirwayar, Y600 NC boleh menyokong sambungan berwayar menerusi kabel 3.5mm. Akhir sekali ia boleh dilipat bagi memudahkan proses ia dibawa di dalam beg.

AKG Y400 ialah fon kepala nirwayar belakang tertutup tetapi tanpa pembatalan hingar. Seperti Y600 NC ia boleh menjeda muzik secara automatik apabila ditanggalkan dan bersambung semula apabila dipakai semula. Dengan sekali caj, AKG Y600 NC boleh beroperasi selama 20jam. Menerusi sokongan pengecasan pantas, pengecasan selama 10 minit mampu memberikan waktu operasi selama 4 jam. Sokongan mod Ambient dan sambungan kabel audio 3.5mm turut diberikan. Kesemua butang kawalan adalah fizikal tetapi tiada sistem tombol berputar.

Dari segi harga AKG Y600 NC ditawarkan  pada harga £199 (~RM1084) dalam warna hitam, emas dan perak. AKG Y400 pula ditawarkan pada harga £199 (~RM594) sepasang dalam warna hitam, biru, hijau, merah jambu dan emas merah jambu.

Komen