Sony Alpha 7S III Kini Rasmi Dengan Kemampuan Rakaman 4K Hampir Tiada Had

Sony Alpha 7S III Kini Rasmi Dengan Kemampuan Rakaman 4K Hampir Tiada Had

Diterbitkan pada July 28, 2020 oleh .

Sony Alpha 7S III dilancarkan sebentar tadi dan menyasarkan mereka yang mencari kamera video yang berkuasa. Kamera digital ini dilengkapi sensor bingkai penuh 12.1 megapixel CMOS Exmor RS dengan cip pemproses imej BIONZ XR.

Cip pemproses imej ini adalah sehingga lapan kali ganda lebih berkuasa berbanding cip BIONZ X generasi terdahulu. Ini sekaligus mempercepatkan pemprosesan imej serta video. Sistem penstabilan lima paksi disertakan dalam tubuh memastikan gambar dan video diambil kelihatan tajam. Menurut Sony, EVF sebesar 1.6 cm dengan 9.4 juta titik yang digunakan adalah yang terbesar di dunia. Sebuah skrin LCD sesentuh sebesar 3 inci pula diletakkan di belakang dengan engsel multi sudut.

Sensor mempunyai julat ISO dari 40 hingga 409,600. Rakaman gambar pula adalah sehingga 10 bingkai sesaat dan 1000 gambar berterusan. Kemampuan rakam video pula adalah sehingga 4K 120pi dengan warna 10 bit 4:2:2. Walaupun ia sebuah kamera digital yang dilancarkan pada tahun 2020, adalah sedikit aneh ia masih tidak menyokong rakaman 8K.

Kamera Sony mempunyai satu kelemahan di mana sensor mudah menjadi panas sehingga merakam video. Pada Sony Alpha 7S III, sistem penyejukan baharu digunakan bagi membolehkan rakaman 4K 60FPS dilakukan berterusan sehingga sejam.

Selain itu kamera dilengkapi bicu mikrofon, bicu fon kepala, sokongan WiFi, USB-C USB 3.2 dan dua slot kad memori CFexpress Type A. Di Amerika Syarikat Sony Alpha 7S III dijual pada harga $3,500 (~RM 14,864) sebuah tanpa lensa.



TIPS & ULASAN