Bagi insan yang bertubuh sempurna, kemampuan berinteraksi dengan komputer dan peranti pintar menggunakan jari adalah sesuatu yang dianggap biasa. Namun ia mendatangkan isu yang menyebabkan warga OKU ketinggalan dalam menggunakan teknologi terkini. Menyedari hakikat ini Dorothy Clasen telah membangunkan [in]brace.
[in]brace ialah alat kawalan input yang dikawal menggunakan lidah dan dipakai pada permukaan lelangit mulut. Terdapat bebola yang digerakkan dengan lidah yang dari pergerakan ini diubah kepada pergerakan di skrin komputer menerusi sensor magnetik. Selain komputer ia juga dipadankan kepada peranti pintar, konsol permainan dan sebarang peranti yang memerlukan input dari pengguna.
Walaupun dibangunkan untuk golongan OKU, Clasen berkata ia turut boleh digunakan oleh insan biasa yang tangannya tidak bebas digunakan. Contohnya ialah pemain piano yang ingin menyelak buku nota lagu ketika muzik sedang dimainkan atau digunakan untuk melatih lidah pesakit angin ahmar di dalam sesi terapi percakapan.