Cari @ Amanz

Hanya beberapa bulan lagi barisan iPhone 12 akan dilancarkan. Terdapat laporan yang menyatakan, selepas ia dilancarkan peminat tidak perlu tunggu lama untuk memulakan tempahan dan ia akan tiba seawal yang boleh. Walau bagaimanapun, ada variasi iPhone 12 mungkin akan ditunda sehingga ke bulan Disember. Baru-baru ini laporan kewangan Qualcomm untuk suku ketiga tahun ini sudah pun dikeluarkan dan mereka mengumumkan peranti mercu suku keempat 2020 yang akan ditunda.

Memandangkan Apple melancarkan telefon pintar baharu setiap September, maka bolehlah disimpulkan peranti mercu yang dimaksudkan ialah iPhone. Apple sudah pun dilaporkan akan  mengalami sedikit masalah dengan pengeluaran iPhone 5G akibat Covid-19.

Dalam temubual Reuters bersama wakil Qualcomm, ia ditunda dalam tempoh yang pendek dari suku September ke suku Disember hadapan. Ini selari dengan laporan Nikkei yang memetik beberapa sumber sebelum ini.

Bukan itu sahaja, dalam laporan kewangan ini Qualcomm turut mengumumkan yang Huawei telah bersetuju membayar sebanyak $1.8 bilion (~RM7.6  bilion) untuk lesen teknologi nirwayar yang tertangguh bayarannya sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd