Tunaskrin adalah masalah yang berlaku pada panel skrin peranti, tidak kira isu burn-in atau juga tinting. Isu seperti ini popular pada peranti dengan skrin OLED seperti pada Pixel 2, Huawei Mate 20 Pro, dan antara yang terkini adalah OnePlus 8 Pro – yang mana sudah dibaiki dengan kemaskini perisian. Isu ini dilihat kerap berlaku pada skrin OLED sahaja dan jarang dilihat pada LCD.
Terkini, OnePlus Nord iaitu peranti kelas pertengahan dari OnePlus yang sepatutnya memberikan pengalaman penggunaan seakan peranti mercu telah menghadapi masalah tunaskrin. Isu ini berlaku apabila kecerahan skrin ditetapkan pada kadar 25% dan seakan lapisan berwarna hijau mula muncul. Selain itu, ia turut memperlihatkan masalah jika tema gelap digunakan atau jika berada di suasana yang gelap. Isu tidak kelihatan ketika kecerahan skrin berada di tahap 60%.
Menurut OnePlus, isu ini adalah disebabkan panel AMOLED memang bertindak sebegini jika panelnya adalah 90Hz. Kecerahan rendah memang akan menyebabkan masalah perwarnaan dan tidak akan mengganggu penggunaan harian pengguna. Kelak, OnePlus akan terus mencari jalan untuk menggunakan teknologi skrin yang lebih baik untuk memastikan pengalaman penggunaan tidak terjejas.
Ini juga bukan isu pertama yang OnePlus Nord perlihatkan. Sebelum ini, Zack dari JerryRigEverything telah membuktikan yang peranti ini tidak kukuh dan rangkanya adalah diperbuat dari plastik.