Covid-19 mendidik orang ramai untuk menjaga jarak dan melakukan pembatasan sosial, kerap basuh tangan, teruskan menggunakan pensanitasi tangan, sentiasa memakai pelitup muka dan dengari arahan kerajaan untuk tujuan keselamatan. Kita juga tidak digalakkan menyentuh muka, lagi-lagi apabila sudah menyentuh banyak benda seperti skrin peranti, buku menu, mesin ATM dan banyak lagi.
Sebagai norma baru kehidupan akibat Covid-19, banyak perubahan dilakukan dan inovasi teknologi yang menarik. Salah satunya adalah Air Touch Panel dari Hakuhodo Product’s Inc. Ia adalah panel skrin sesentuh nirsentuh, yang mana paparan akan muncul seakan hologram dan kelihatan jelas. Ia turut mempunyai sensor pergerakan untuk mengesan jari pengguna apabila “sentuh” pilihan pada skrin. Air Touch Panel ini adalah sebuah gajet yang ringkas, ia terdiri dari empat bahagian utama iaitu skrin khas untuk paparkan kandungan, sensor pergerakan, panel skrin Parity Mirror 3000 yang boleh memaparkan apa jua kandungan di atas udara dan sebuah komputer kecil untuk menjalankan semuanya.
Sasaran produk ini adalah untuk mengurangkan sentuhan fizikal, lagi-lagi di negara Jepun yang ada banyak perkara menggunakan kawalan skrin sesentuh. Agak leceh jika setiap kali kita sentuh sesuatu perlu mengelap kembali, Air Touch Panel sememangnya adalah skrin masa hadapan seakan Iron Man.