Sony memperkenalkan jenama Bravia Gaming, iaitu siri televisyen Bravia yang sedia digunakan untuk tujuan bermain permainan video. Didalam siri ini, Sony turut memperlihatkan dua model televisyen beresolusi tinggi yang disahkan sedia untuk konsol generasi akan datang Sony PlayStation 5 dibawah label “Ready For PlayStation 5“.
Dua model televisyen yang menerima pengesahan ini termasuklah siri televisyen Sony Bravia X90H dan juga Sony Bravia Z8H.
Sony Bravia X90H hadir didalam beberapa saiz paparan, termasuklah 55″, 65″, 75″, dan 85″. Selain daripada rekaan minimalis dengan bingkai yang nipis, Bravia X90H ini dilengkapi dengan panel Full Array LED yang menjanjikan kualiti warna yang menawan.
Ia juga dilengkapi teknologi High Dynamic Resolution, mempunyai resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120FPS dengan masa pendam yang rendah.
Sony Bravia Z8H pula ialah televisyen gergasi dengan panel Full Array LED yang bersaiz 85 inci dan mempunyai resolusi setiinggi 8K dan ciri Xtended Dynamic Range Pro yang menjanjikan warna hitam yang lebih gelap, dan mengurangkan isu kebocoran cahaya yang boleh dilihat.
Sama seperti Bravia X90H, Bravia Z8H ini juga mampu menggerakkan kandungan 4K pada kadar 120FPS tanpa masalah, khususnya kandungan permainan.
Kedua-dua televisyen ini hadir dengan mod yang dinamakan Bravia Gaming Mode iaitu sebuah tetapan yang membolehkan pengguna yang menggunakan konsol PlayStation 5 untuk menggerakkan permainan pada resolusi 4K 60FPS sekurang-kurangnya tanpa masalah.
Menurut Sony Malaysia, Sony Bravia X90H (harga permulaan RM4299) dan Sony Bravia Z8H (RM79,999) ini akan tiba di pasaran tempatan bermula bulan Ogos kelak.