Kerajaan melalui PDRM dan SKMM telah memperkenalkan aplikasi Gerak Malaysia sebelum ini, dalam memudahkan pengesanan kontak dan rekod pergerakkan pengguna dengan mudah. Ia telah diperkenalkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari, dalam membantu pihak berkuasa untuk melakukan pengesanan kontak rapat kes Covid-19. Pada masa yang sama, ia juga telah digunakan untuk menguruskan permit perjalanan rentas sempadan negeri, serta memantau jumlah pergerakan kenderaan dalam masa-nyata.
Apa pun, kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tiada lagi keperluan permit rentas semadan negeri, sekaligus membuatkan pihak PDRM dan SKMM memutuskan aplikasi Gerak Malaysia tidak diperlukan lagi. Selari dengannya, perkhidmatan aplikasi Gerak Malaysia akan ditamatkan pada 31 Julai 2020 kelak.
Pengguna digalakkan memadam aplikasi Gerak Malaysia selepas ini, kerana ia tidak lagi mempunyai fungsi aktif.
Semua data peribadi pengguna akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, sementara rekod perjalanan pula akan dilupuskan.
Kerajaan turut mengalakkan pengguna untuk memuat-turun aplikasi MySejahtera untuk penggunaan lanut, termasuk mengawal penularan wabak Covid-19, serta mengetahui kawasan berisiko tinggi.