Cari @ Amanz

Siri komputer riba MSI Creator ialah sebuah siri komputer riba yang menggabungkan rekaan minimalis dengan prestasi sebuah PC gaming yang cukup berkuasa.

Terkini, model komputer riba terbaru didalam siri ini, iaitu MSI Creator 17 bakal memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. Ia dilengkapi dengan paparan Mini LED 17.3 inci yang mempunyai resolusi 4K UHD (3840×2160) dengan kadar segar semula 60FPS.

Apa yang menarik mengenai paparan Mini LED ini ialah ia bukan sahaja hadir dengan resolusi 4K, tetapi juga mempunyai nilai kecerahan 1000nit yang menyokong teknologi DisplayHDR 1000.

Untuk mereka yang bekerja dalam industri rekaan perindustrian, paparan ini juga hadir dengan sokongan gamut warna 100 peratus DCI-P3 dengan delta kejituan warna kurang dari 2.

Dari segi spesifikasi pula, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10875H, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB dan 1TB.

Menguasakan bahagian grafik komputer riba ini ialah pilihan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q ataupun NVIDIA GeForce RTX 2070 Max-Q yang sangat berkuasa.

Sebagai sebuah komputer riba yang memfokuskan kepada produktiviti, MSI Creator 17 ini turut hadir dengan sejumlah palam I/O yang berguna. Ini termasuklah tiga palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB 3.2 Type-C, dimana salah satu daripadanya ialah palam Thunderbolt 3, satu palam HDMI yang menyokong sambungan kepada paparan skrin 4K60FPS, satu palam LAN dan satu pembaca kad SD.

Menurut MSI Malaysia, komputer riba MSI Creator 17 ini akan tiba di pasaran tempatan dalam masa yang terdekat ini, dan telahpun memberitahu kami model dan tanda harga yang akan diperkenalkan kelak:

  • MSI Creator 17 (NVIDIA GeForce RTX 2070 Max-Q) – RM13,999
  • MSI Creator 17 (NVIDIA GeForce RTX 2060 Max-Q) – RM11,999
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd