Black Shark hari ini telah memperkenalkan kemas kini untuk telefon pintar mercu memfokuskan permua mereka, melalui Black Shark 3S. Black Shark 3S meneruskan tradisi dengan penawaran spesifikasi tinggi, serta dilengkapi dengan perubahan yang agak minima berbanding Black Shark 3 sebelum ini.
Black Shark 3S hadir menggunakan skrin 6.67-inci AMOLED, dan kini ia menyertakan kadar segar semula mencapai 120Hz.
Disamping itu, ia dilengkapi cip Snapdragon 865, menawarkan memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Telefon pintar ini menggunakan bateri berkapasiti 4720mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Black Shark 3S turut menyokong pengecasan berasaskan magnetik seperti sebelum ini, tetapi dengan kelajuan pengecasan hanya 18W.
Untuk rakaman gambar, ia menyertakan tri-kamera belakang dengan sensor utama 64MP + 13MP (sudut lebar) + 5MP (kedalaman). Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 20MP di hadapan.
Secara kasar, ia boleh dikatakan menawarkan sokongan lebih kurang sama seperti Black Shark 3 sebelum ini, tetapi dengan penawaran skrin lebih baik. Disamping itu, ia turut hadir dengan antaramuka Android terbaru, iaitu Joy UI12 – sekaligus menyertakan ciri-ciri tambahan seperti kawalan berasaskan suara untuk mengawal tetapan ketika anda sedang memainkan permua. Ciri kawalan notifikasi ketika bermain permua, selain optimasi khas turut disertakan pada telefon pintar ini.
Pada masa yang sama, kini pengguna turut boleh memancarkan ke skrin lebih besar untuk memudahkan anda menikmati sesuatu permua.
Buat masa ini, Black Shark 3S hanya diumumkan di China sahaja. Tidak diketahui lagi bilakah telefon pintar ini akan diperluaskan penawaran untuk pasaran global.