Cari @ Amanz

Dalam Android 11, Google cuba menguji notifikasi dalam bentuk ikon aplikasi yang terapung. Ia dinamakan sebagai Bubbles, yang mana ditiru dari Facebook Messenger. Ia sebelum ini pernah diuji dalam versi Android yang lama, tetapi tidak begitu efisien dan dalam Android 10 ia mula kelihatan – tetapi hilang dan muncul kembali dalam Android 11. Untuk perkara ini berfungsi, sesebuah aplikasi permesejan itu mesti turut mengaktifkannya pada aplikasi mereka akan dikesan sebagai conversations dalam sistem Android.

Google Message, WhatsApp dan beberapa aplikasi permesejan lain dilihat berfungsi dalam Android 11. Terkini, Telegram turut menguji perkara yang sama. Cuma sistem Android 11 menurut sumber tidak mengesan Telegram sebagai aplikasi coversation. Sebaliknya, ia boleh diuji pada peranti yang menjalankan Android 10. Fungsi ini dilihat tersorok dalam menu rahsia Telegram, debug menu. Ia boleh diakses melalui tetapan Telegram dan di bawah bahagian versi aplikasi, tekan dan tahan sehingga emoji ¯_(ツ)_/¯ muncul. Tekan sekali lagi untuk keluarkan menu ini. Tekan Enable chat bubbles dan pergi ke tetapan pembangun dalam sistem operasi Android, aktifkan Bubbles.

Menurut sumber, ia masih tidak stabil walaupun adalah fungsi beta dan kerap tergendala atau aplikasi terus tertutup dengan sendiri pada banyak peranti. Dalam ujian yang kami lakukan, ia berfungsi pada Realme X3 SuperZoom – tetapi tiada ikon dan bentuk yang sepatutnya bulat menjadi segi empat dan kerap tergendala. Masalah ikon ini mungkin hanya kerana ia mengikut ikon yang digunakan pada pelancar. Cuma, mesej dari kenalan yang tiada gambar profil dilihat kurang kemas. Apabila ia berfungsi, ia hanya aplikasi telegram dalam tetingkap yang kecil. Jelas di sini, Telegram sedang mencari jalan bagaimana ingin diintegrasikan dalam sistem Android – agar kelak dalam Android 11 notifikasi Bubbles ini boleh berfungsi dengan baik untuk pengalaman penggunaan yang lebih mudah dan pantas.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd