Cari @ Amanz

Caviar bukan lagi satu nama yang asing. Syarikat dari Rusia ini cukup terkenal dengan idea yang berjaya menembusi definisi karya kreatif yang lebih luas. Boleh dikatakan kebanyakan koleksi peranti daripada sejumlah jenama terkemuka yang dihasilkan olehnya ternyata padat dengan rekaan mewah dan premium.

Meskipun, siri iPhone 12 masih belum diperkenalkan secara rasmi. Caviar nampaknya telah mula menawarkan koleksi terhad untuk iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max dengan sejumlah rekaan yang mengujakan. Paling menarik perhatian adalah koleksi iPhone 12 Pro yang hadir dengan kemasan lapisan emas tulen 18 karat pada bahagian belakang.

Sementara itu, pada bahagian yang sama turut kelihatan ukiran unik berbentuk bunga Chamomile (bunga kebangsaan Rusia), selain dihiasi dengan beberapa berlian bagi menaikkan lagi rekaan mewah padanya. Difahamkan, koleksi ini turut didatangkan dengan kemasan kotak eksklusif bersama-samanya.

Hasil tinjauan kami menerusi laman rasminya, pra-tempahan telah mula dibuka dan ia dijual pada harga $23,380 (~RM98,851). Sebagai pilihan, Caviar turut hadir dengan sejumlah lagi koleksi untuk peranti ini yang dijual pada harga berbeza yang lebih rendah. Ia termasuklah rekaan daripada kulit haiwan, titanium dan serat karbon.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd