Dalam arena teknologi, saman-menyaman kerana pelanggaran paten merupakan salah satu perkara yang sering kita dengar. Terbaru, di China, sebuah syarikat dinamakan Shanghai Zhizhen Network Technology Co. telah memfailkan saman terhadap Apple pada nilai sekitar 10 bilion Yuan (sekitar RM6.04 bilion).
Ia dikatakan Apple telah melanggar paten milik syarikat berkenaan. Paten yang dikatakan adalah berkaitan dengan pembantu maya berasaskan kecerdasan buatan, Siri.
Pada saman berkenaan juga, syarikat berkenaan meminta Apple untuk menghentikan jualan atau pengeluaran produk dengan integrasi paten berkenaan. Untuk makluman, Siri, iaitu pembantu maya Apple sedia diintegrasikan pada iPhone, iPad dan Mac.
Ini bukan kali pertama Apple disaman di China. Sebelum ini, Apple telah disaman di China disebabkan penggunaan nama iPad, selain turut pernah diharamkan daripada menjual iPhone di Beijing.