Selepas mengambil masa beberapa bulan untuk digunakan secara meluas, akhirnya peranti dengan Snapdragon 765G kini mula membanjiri pasaran. Hari ini Oppo K7 5G telah dilancarkan dan dari namanya anda pasti dapat mengagak ia menyokong rangkaian 5G.
Spesifikasinya ialah skrin 6.4″ AMOLED FHD+ 60Hz dengan pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Pemproses Snapdragon 765G dipadankan dengan memori sebesar 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4025 mAh yang menyokong pengecasan 30W.
Kuad kamera utama terdiri daripada sensor 48+8+2+ megapixel manakala kamera swafoto pula sebesar 32-megapixel yang diletakkan dalam takuk yang bersaiz kecil. Kamera utama menggabungkan lena sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan pengesan kedalaman.
Tidak seperti majoriti peranti di pasaran, K7 masih lagi dilengkapi bicu audio 3.5mm. Turut disertakan ialah sokongan NFC. Di China Oppo K7 dijual pada harga bermula dari RMB 1999 (~RM1208) sebuah. Peranti siri K tidak pernah ditawarkan di Malaysia dan ini bermakna anda harus terus menunggu sebelum telefon pintar dengan Snapdragon 765G ditawarkan di negara kita.