Semalam, OnePlus telah mengesahkan yang mereka akan hadir dengan sistem operasi beta Android 11 yang dibina dengan antaramuka mereka Hydrogen OS. Pada masa yang sama, Pete Lau turut mengumumkan perkara yang sama bagi pengguna global, iaitu Oxygen OS 11 turut akan diperkenalkan pada 10 Ogos ini. Pada tarikh tersebut, versi akhir pencubaan pembangun akan dilancarkan – yang mana terhad untuk pengguna terpilih untuk mengujinya.
Oxygen OS 11 akan mempunyai sistem yang lebih interaktif dan juga visual baharu, sambil mengekalkan pengalaman penggunaan yang lancar, kemas, ringan – bak kata orang ramai “Android asli yang terbaik”. Di China pula, Pete Lau turut mengacah kehadiran Zen Mode 2.0 dan juga mod gelap serba baharu.
Zen Mode 2.0
Ia adalah fungsi yang menjadikan telefon pintar menjadi dungu, yang mana fungsi dihadkan kepada panggilan telefon atau untuk kecemasan sahaja dalam tempoh masa yang ditetapkan pengguna. Versi baru pula akan membenarkan pengguna menjemput rakan OnePlus menyertai mod ini. Terdapat tema baharu seperti lautan, rumput dan langit malam yang indah. Ia adalah konsep detox secara digital atau bermeditasi tanpa obsesi terhadap tatalan pada peranti.
Mod Gelap Baharu
Ia kelak akan mempunyai kemampuan membuat jadual dan juga mata pengguna akan lebih selesa. Tiada butiran yang jelas, tetapi pasti akan mengikut trend terkini seperti yang Xiaomi lakukan pada MIUI 12. Mod gelap ini mungkin boleh mengubah kontras dan suhu warna mengikut situasi pengguna, begitu juga dengan ketebalan teks. Apa-apa pun, butiran lanjut akan diperkenalkan pada 10 Ogos kelak.
Contoh ini adalah untuk Hydrogen OS 11, tetapi disebabkan kedua-dua sistem operasi ini sama sahaja – ia turut akan diperkenalkan pada Oxygen OS 11 kelak. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.