Google Assistant adalah pembantu digital yang amat berguna. Ia adalah yang paling pintar, mudah memahami tutur kata manusia, tugasan tepat dilakukan dan banyak lagi perkara boleh dilakukan. Saya sendiri menggunakan Google Assistant dalam kehidupan harian saya, untuk mengawal lampu, televisyen, mengawal muzik atau juga sambil memandu ingin membuat panggilan telefon. Terkini, Google telah mengemaskini Google Assistant untuk paparan dan pembesar suara pintar mereka yang sesuai dengan era Covid-19.
Ia adalah Family Bell, atau lebih mudah dikatakan adalah seakan loceng di sekolah. Ibu bapa boleh menetapkan pelbagai peringatan dan Family Bell ini akan bertindak seakan loceng sekolah untuk kelas atas talian. Melalui fungsi ini, pengguna boleh membuat peringatan untuk masa rehat, waktu tidur, masa untuk memulakan kelas atau juga untuk ibu bapa boleh membuat peringatan untuk kerja-kerja rumah. Menurut Google, salah satu tetapan yang dilakukan membolehkan Google Assistant menyebut “Hi superhero, it’s time for math”. Ia juga boleh memberi peringatan berbeza pada masa yang sama di peranti berhubung yang berbeza.
Contoh arahan yang pengguna boleh lakukan, “Hey Google, start the school day!” atau “Hey Google, school’s in session!” – paparan pintar akan memaparkan visual menarik dengan audio seakan suasana di sekolah atau juga animasi kanak-kanak membuka almari. Jika ada lampu pintar, ia akan menyala-nyala warna merah, jingga dan kuning.
Lebih menarik, kemampuan komunikasi siaran kini boleh berbalas-balas – seperti saya di bilik tidur menyiarkan mesej ke dapur dan orang di dapur boleh kembali membalas. Penggera juga kini lebih seronok dengan kemampuan memainkan muzik, bunyi jenaka, fakta dan kata-kata semangat. Lain-lain kemaskini terhad di negara tertentu seperti untuk lebih memudahkan ibu bapa meluangkan masa bersama-sama anak-anak mereka.