Cari @ Amanz

Lenovo Malaysia terus mara memperkenalkan siri komputer riba produktiviti baru dibawah jenama ThinkBook kali ini, dengan ketibaan salah satu model paling unik mereka, iaitu Lenovo ThinkBook Plus.

Dari sekilas pandang, Lenovo ThinkBook Plus ini kelihatan seperti peranti ThinkBook yang biasa. Apa yang menarik mengenai komputer riba ini ialah ia mempunyai satu paparan 13.3 inci, dan dibelakangnya, satu paparan E-Ink bersaiz 10.8 inci, dimana kedua-duanya mempunyai resolusi Full HD (1920×1080).

Paparan E-Ink ini boleh digunakan untuk membaca laman web ataupun dokumen teks dan PDF tanpa isu sakit mata yang sering membelenggu pengguna komputer riba biasa.

Komputer riba ThinkBook Plus ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-10210U, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD sebesar 500GB. Dalam pada itu ia juga disertakan dengan sebatang stylus yang boleh digunakan bersama-sama dengan paparan skrin komputer riba tersebut.

Dari segi I/O, ThinkBook Plus ini dilengkapi dua palam USB 3.0 Type-A, satu palam USB 3.0 Type-C dengan ciri pengecasan PowerDelivery, satu palam HDMI dan juga satu palam audio 3.5mm.

Selain daripada itu, butang kuasa komputer riba ini, yang terletak di bahagian sisi komputer riba ini juga boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari menggunakan ciri Windows Hello untuk kemampuan melog masuk tanpa perlu menggunakan kata laluan.

Menurut Lenovo Malaysia, komputer riba Lenovo ThinkBook Plus ini boleh dibeli melalui kedai atas-talian mereka pada harga RM5849.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd