Selepas sembilan tahun dan 13 versi berbeza sebelum ini, Galaxy Note kembali lagi tahun ini dengan tujuan memberikan pengalaman baharu berbanding tahun sebelumnya. Dengan pelancaran Samsung Galaxy Note20 dan Note20 Ultra hari ini, peranti yang dahulunya merevolusikan saiz skrin yang besar dan penggunaan stylus sekali lagi cuba membuktikan ia adalah pengganti komputer riba yang boleh diandalkan.
Untuk iterasi ke-14 siri Note, Samsung kini lebih menumpukan perhatian kepada memperbaiki kekurangan yang dilaporkan oleh pengguna. Tiada lagi evolusi besar pada ciri dan pengenalan iterasi yang berguna diutamakan. Kami mendapat akses awal untuk Note20 dan Note20 Ultra semalam. Ini ialah pandang pertama kami untuk dua phablet profesional yang ingin memikat hati pengguna profesional.
Spesifikasi Dan Rekabentuk
Samsung Galaxy Note20 / Note20 Ultra | |
---|---|
Skrin | 6.7″/6.9″ FHD+/WQHD+ Super AMOLED Plus HDR10+/ Dynamic AMOLED 2X HDR10+ |
Pemproses | Exynos 990 (7nm) |
Cip | 2 X 2.7 GHz Mongoose M5 2 X 2.5 GHz Cortex A76 4 X 2 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G77 MP11 |
RAM | 8/12 Gigabyte LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.0 (mikro SD sehingga 512GB) |
Kamera Utama | Note20 – 12+12+64 Megapixel. f/1.8+f/2.2+f/2.0, OIS, HDR Note20 Ultra – 108+12+12 Megapixel. f/1.8+f/2.2+f/3.0, OIS, HDR |
Kamera Depan | 10 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 4300/4500 mAh (Pengecasan pantas 45W + Tanpa wayar) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Cap jari terbina dalam skrin |
Harga Jualan | Bermula dari RM3899 |
Dua pilihan skrin diberikan iaitu 6.7″ Super AMOLED Plus pada Note20 dan 6.9″ Dynamic AMOLED 2X pada Note20 Ultra. Perbezaan di antara peranti tidak terhad pada saiz skrin semata-mata. Ini ialah sebab mengapa penamaan tahun ini ialah Note20 dan Note20 Ultra.
Skrin untuk Note20 Ultra lebih berkuasa dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz sedangkan Note20 terhad hanya sehingga 60Hz. Samsung akhirnya membawakan sokongan resolusi dinamik 120Hz pada Note20 Ultra.
Perisian akan menetapkan kadar segar semula skrin berdasarkan aplikasi yang digunakan. Secara teorinya penggunaan bateri peranti akan lebih baik berbanding pada S20 Ultra yang terjejas teruk dalam mod 120Hz.
Namun begitu mod 120Hz ini hanya disokong pada resolusi FHD+ sahaja. Masih tiada pilihan diberikan untuk menyokong pada resolusi tertinggi WQHD+. Setakat ini hanya Oppo Find X2 Pro menyokong skrin 120Hz pada resolusi WQHD+. Ironi di sini ialah Oppo menggunakan skrin keluaran Samsung. Maka kita tahu Samsung tidak mengaktifkannya atas sebab tertentu seperti penggunaan bateri yang tinggi.
Selain itu skrin pada Note20 Ultra masih lagi melengkung pada bahagian sisi tetapi pada Note20 ia adalah rata. Samsung melihat skrin 120Hz yang melengkung kini hanya ditawarkan pada model premium siri Note. Satu persamaan yang ada adalah pengimbas cap jari ultrasonik yang terbina dalam skrin pada kedua-dua peranti bagi yang masih memerlukan nyahkunci biometri.
Oleh sebab ini kami merasakan rekaan Note20 adalah lebih menarik tahun ini dengan bahagian sisi dan skrin rata. Kerana rekaan sisi yang lebih rata ini juga peranti terasa lebih selesa dan kemas di dalam tangan. Pengalaman menonton video juga tidak terganggu dengan sebahagian video melimpah ke sisi.
Di Malaysia pemproses Exynos 990 digunakan semula tidak seperti pasaran lain yang menggunakan Snapdragon 865+. Keputusan ini mungkin tidak akan disenangi sesetengah pengguna tetapi Samsung berkata perbezaan prestasi sebenar tidak akan kelihatan. Benar ataupun tidak hanya akan diketahui dalam ulasan penuh kamu kelak. Dari pengalaman penggunaan selama beberapa minit semalam kami merasakan ia masih lagi lancar setanding dengan apa yang kami nikmati pada S20 Ultra yang menggunakan cip yang sama.
Saiz RAM pada Note20 ialah 8GB manakala pada Note20 Ultra pula ialah 12GB. Kedua-dua model hanya akan ditawarkan dengan storan 256GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB. Buat pertama kali juga Note20 akan ditawarkan dalam versi 4G ataupun 5G. Note20 Ultra akan hanya akan ditawarkan dengan sokongan 5G, sesuai dengan statusnya sebagai peranti Ultra.
Kita bergerak pula pada kamera. Note20 menggunakan kombinasi 12+12+64 megapixel. Sensor terbesar dipadankan pada lensa telefoto dengan kemampuan zum optikal hibrid sehingga 3X dan zum digital sehingga 30X. Dua lagi sensor dipadankan dengan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar.
Note20 Ultra pula dilengkapi dengan kamera 108+12+12 MP. Sensor terbesar digunakan lensa sudut lebar. Sensor 12 megapixel pula dipadankan dengan lensa telefoto periskop yang memberikan kemampuan zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X sahaja. Sebuah sistem laser turut digunakan untuk pemfokusan lebih pantas dan ia menggantikan sensor 3D TOF tahun lalu.
Walaupun sensor dan mekanisme periskop yang sama digunakan semula dari S20 Ultra, kemampuan zum digital dikurangkan 50%. Secara peribadi kami merasakan ini ialah tindakan yang bijak kerana mod zum angkasa 100X pada S20 Ultra sebenarnya tidak begitu berguna dengan kualiti gambar yang langsung tidak memuaskan.
Bagi menyokong sistem tri-kamera yang dipertingkatkan berbanding Note10, bonggol kamera yang amat besar digunakan pada siri Note20. Ia adalah sebesar yang ditemui pada S20 Ultra. Akibatnya peranti mustahil untuk diletakkan rata pada permukaan meja.
Pujian masih ingin kami berikan pada Samsung kerana sekurang-kurangnya saiz lensa pada siri Note20 kali ini adalah lebih sekata. Tri-kamera nampak seimbang dan tidak lagi canggung. Samsung mengambil inspirasi dari iPhone 11 Pro untuk mendapatkan rekaan tri-kamera yang walaupun berbonggol besar tetapi sekurang-kurangnya masih sedap mata memandang.
Peranti juga terasa lebih seimbang di dalam tangan. Isu bahagian atas lebih berat S20 Ultra nampaknya berjaya diselesaikan. Kedua-dua peranti selesa di dalam genggaman kami walaupun saiznya adalah besar. Ini mungkin kerana kami sudah membiasakan diri sejak Februari menggunakan S20 Ultra, Black Shark 3 Pro dan ASUS ROG Phone 3 yang juga bersaiz lebih besar berbanding majoriti peranti di pasaran.
Oleh itu kami tidak boleh menjamin siri Note20 akan turut selesa digunakan oleh anda. Yang pasti mereka yang bertangan kecil pasti mempunyai isu untuk menggunakan kedua-dua peranti dengan sebelah tangan.
Bercakap tentang rekaan dua lagi perubahan besar pada rekaan perlu kami ketengahkan. Pertama sekali ialah butang kuasa dan laras suara kini diubah semula ke sisi kanan. Terima kasih Samsung kerana mendengar keluhan pengguna yang merungut butang sisi kiri Note10 yang amat canggung untuk digunakan.
Satu langkah kanan ke hadapan ini kemudian dibatalkan dengan langkah kiri kerana tempat simpanan S Pen diubah pula ke sisi kiri. Ini ialah kali pertama ia dilakukan sejak generasi pertama. Sepanjang sesi pandang pertama kami terpaksa mengingatkan diri S Pen kini terletak pada pada sisi kiri. Keputusan ini kami yakin hanya akan menggembirakan mereka yang bertangan kidal atau pengguna baharu Note.
Akhir sekali ialah kapasiti bateri yang hanya sedikit lebih besar digunakan tahun ini dengan sistem pengecasan lebih pantas. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka berketebalan 8.3mm yang kalis air IP68.
Antaramuka
Sistem operasi Android 10 digunakan dengan pelancar Samsung One UI 2.5. Tiada perubahan ketara dilakukan jika dibandingkan dengan One UI 2.1 yang kini digunakan pada siri S20 sekarang. Ia masih lagi antara pelancar yang minimalis di pasaran dengan pelbagai ciri tambahan Samsung bagi memberikan pengalaman yang lebih baik berbanding Android asli.
Tatalan peranti adalah amat lancar terutamanya dalam mod 120Hz Adaptive Note20 Ultra. Tiada sela masa dapat kami lihat walaupun peranti ujian yang diberikan tidak menggunakan perisian versi akhir. Oleh itu kami tidak boleh mengomen panjang mengenai perisian pada waktu ini. Apa yang kami boleh komen ialah beberapa penambahbaikan pada perisian S Pen. Dex dan kamera
S-Pen Lebih Pantas Dengan Gestur Baharu
Masa pendam S Pen dikurangkan dari 30ms ke 9ms sahaja bersamaan dengan 70%. Ini akhirnya meletakkan masa pendam S Pen setanding dengan Apple Pencil. Pergerakan mata pena yang lebih jitu dapat dinikmati terutamanya di dalam aplikasi lukisan digital.
Air Gesture turut dipertingkat dengan sokongan gestur tambahan yang membolehkan pengguna melakukan aksi kembali ke muka hadapan peranti, melakukan aksi back dan pergi ke skrin multi-tugas dengan melakukan lakaran di udara menggunakan S Pen. Gestur kegemaran kami ialah melakukan tangkap layar dengan melakukan aksi contengan udara. Kesemua Air Gesture tahun lalu untuk melancarkan kamera, menekan butang kamera, kawalan zum serta kawalan audio masih lagi disokong.
Wireless DeX
Ini ialah ciri yang sudah dua tahun diminta dan dijanjikan beberapa kami oleh pihak Samsung. DeX kini boleh digunakan pada skrin yang menyokong format Miracast tanpa sebarang sambungan berwayar. Skrin Note20 dan Note20 Plus kemudian boleh digunakan sebagai pad sesentuh, skrin sekunder yang dicermin kandungannya atau sebagai skrin televisyen pintar biasa.
Pada waktu ini kami difahamkan oleh wakil Samsung sokongan Wireless DeX akan diberikan terlebih dahulu pada televisyen pintar keluaran Samsung tahun 2019 dan ke atas. Tiada maklumat sama ada televisyen pintar pengeluar lain akan disokong di masa hadapan.
Samsung Notes Dipertingkatkan
Tumpuan tahun ini diberikan juga pada aplikasi Samsung Note yang akhirnya boleh mengimport padi PDF untuk disunting. Pengguna bebas melakukan suntingan ke atas fail PDF ini sebelum kemudiannya disimpan dalam format Samsung Notes, Microsoft Words dan PowerPoint buat pertama kali.
Kesemua nota-nota kini boleh disimpan di dalam folder tersendiri yang lebih tersusun. Pengguna kemudian boleh melakukan carian semula mengikut nama folder atau tahun nota yang dihasilkan. Dengan struktur menyimpan fail yang lebih mirip sebuah desktop, masalah lambakan nota yang sukar dicari semula mampu diselesaikan.
Akhir sekali terdapat sokongan anotasi audio yang turut merakam pergerakan lakaran pada dokumen Samsung Notes. Pengguna boleh mendengar semula audio yang disimpan dengan lakaran dimainkan semula pada waktu yang sama. Note yang dihasilkan kini tidak lagi sekadar statik.
Kamera Lebih Pro
Seterusnya ialah mod profesional ketika pengambilan audio yang dipertingkat. Pengguna boleh memilih mikrofon manakah ingin digunakan. Mikrofon boleh menumpukan subjek di hadapan kamera, subjek menggunakan kamera swafoto atau buat pertama kali input audio dari mikrofon bluetooth. Menerusi demo yang diperlihatkan sokongan mikrofon bluetooth pada waktu ini disokong pada Galaxy Buds Live.
Zum juga boleh dilakukan dengan kelajuan yang lebih sekata. Hanya pilih kelajuan yang diinginkan dan tekan butang zum. Zum perlahan 1X ataupun zum dramatik seperti sinetron Indonesia turut boleh dilakukan dengan menekan satu butang.
Xbox Game Pass Premium
Seperti yang telah tertiris sebelum ini, Note20 akan menjadi peranti pertama menyokong perkhidmatan penstriman Xbox Game Pass Premium. Menerusi teknologi Xcloud, 100 permainan konsol berkualiti tinggi boleh terus distrim kepada peranti dengan sokongan alat kawal Xbox. Memandangkan sokongan Xbox masih tiada di Malaysia, kebarangkalian perkhidmatan ini disokong di negara kita malangnya adalah amat rendah.
Kesimpulan
Tahun lalu ramai melihat Note10 sebagai peranti yang jauh lebih baik berbanding S10 memandangkan ia dilengkapi pemproses yang lebih berkuasa, skrin lebih besar dan sokongan S-Pen. Tahun ini jurang di antara peranti adalah lebih kecil dengan S20 Ultra mempunyai kemampuan zum yang lebih baik tetapi diimbangkan pula dengan Note20 yang mempunyai sokongan S-Pen.
Model tahun ini lebih mementingkan penambahbaikan pada peringkat perisian berbanding perkakasan. Lebih banyak fungsi gestur menggunakan S-Pen dan paling penting sekali Samsung Notes kini menyokong lebih banyak jenis fail untuk meningkatkan produktiviti di luar pejabat.
Samsung jelas ingin membezakan siri Galaxy S dan Galaxy Note tahun ini selepas bertahun Note dilihat sebagai pilihan lebih bijak kerana setanding dengan Galaxy S. Tahun ini pengguna perlu memilih inginkan peranti untuk kegunaan kerja atau inginkan peranti yang menumpukan kepada kemampuan fotografi.
Dengan kesemua penambahbaikan ini, Note20 dan Note20 Ultra pada hemat kami akan mengekalkan statusnya siri Galaxy Note sebagai phablet profesional pilihan untuk tahun ke sembilan berturut-turut. Kombinasi kuasa dan fungsinya masih belum mampu ditandingi pada waktu ini. Nantikan ulasan penuh Note20 dan Note20 Ultra di Amanz dalam masa terdekat.
Di Malaysia Samsung Galaxy Note20 4G dijual pada harga RM3899, Galaxy Note20 5G pada harga RM4299 dan akhir sekali Galaxy Note20 Ultra pula dijual pada harga RM5199. Ketiga-tiga model peranti ini ditawarkan dengan storan 256GB sahaja.
Pro
- Spesifikasi yang tinggi mampu memberikan pengalaman penggunaan yang lebih dari memuaskan.
- Skrin kadar segar semula tinggi di Note20 Ultra telah lama diminta pengguna.
- Rekaan tubuh yang kemas serta premium dengan kedudukan butang yang lebih ergonomik.
- Cir-ciri baharu yang akan membantu mereka yang bekerja di luar rumah menggunakan telefon pintar seperti sokongan PDF pada Samsung Note.
- Penambahbaikan kemampuan kamera berbanding tahun lalu.
- S Pen semakin pantas dengan masa pendam hanya 9ms.
Kontra
- Di Malaysia masih menggunakan Exynos 990 sahaja sedangkan di pasaran lain Snapdragon 865+ digunakan dan ia lebih berkuasa.
- Bonggol kamera yang semakin besar sehingga terjongket di atas permukaan meja.
- Skrin 120Hz sekadar pada resolusi FHD+ dan Note20 Ultra sahaja.
- Kedudukan tempat simpanan S Pen yang agak drastik.
- Kapasiti bateri yang agak kecil untuk peranti berskrin besar.