Ulasan Jabra Elite Active 75t – Mana Bezanya?

Ulasan Jabra Elite Active 75t – Mana Bezanya?

Diterbitkan pada Ogos 17, 2020 oleh .

Mana-mana set fon telinga nirwayar sebenar Jabra siri Active, ia memfokuskan untuk aktiviti lasak ataupun sesuai untuk di bawa bersukan serta mempunyai ketahanan air. Antara yang terbaru adalah siri Jabra Elite 75t yang dilancarkan pada awal tahun. Selepas beberapa bulan versi Active pula dilancarkan. Versi ini menjanjikan kualiti audio yang lebih baik, rekaan yang lebih bagus serta sepatutnya bateri yang lebih hebat.

Sama seperti 75t biasa, aplikasi Jabra Sound+ turut boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Di Amanz, kami telah menerima set fon telinga nirwayar sebenar ini ketika PKP dan telah menggunakannya untuk lebih sebulan. Ini adalah artikel ulasan dan sedikit pendapat apakah yang berbeza dengan versi biasa.


Spesifikasi & Rekaan

Spesifikasi Jabra Elite Active 75t masih lebih kurang sama dengan versi biasa. Ia mempunyai pembatalan hingar pasif, mampu mengurangkan hingar ketika panggilan telefon, menggunakan sistem empat mikrofon, boleh membuang bunyi angin, menyokong codec SBC dan AAC serta menggunakan pemacu audio 6mm. Ia adalah jenis dalam telinga, yang mana menggunakan silikon untuk sumbat ke dalam telinga.

Untuk bateri pula, kapasiti sebenar tidak dinyatakan. Tetapi mempunyai ketahanan sehingga 7.5 jam untuk mendengar muzik dan panggilan telefon. Ia juga mempunyai mod mati sendiri, yang mana jika 15 minit tanpa sebarang tambatan atau 60 minit tiada aktiviti ia akan mati. Pengguna turut boleh mengubah sendiri masa yang ingin dimatikan bila melalui aplikasi Jabra Sound+. Masa pengecasan adalah 2 jam 20 minit pada pod pengecasan dan sokongan pengecasan pantas terhad kepada fon telinga sahaja – iaitu 60 minit penggunaan untuk 15 minit cas.

Untuk sambungan, ia menggunakan cip Bluetooth 5.0, mampu ditambat sehingga 8 peranti pada jarak 10 meter, boleh ditambat pada dua peranti serentak, sensor ambien untuk menjeda muzik apabila fon telinga dikeluarkan dari telinga dan auto hidup sebaik sahaja dikeluarkan dari pod pengecasan. Jabra Elite Active 75t ini menggunakan USB-C dan mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP57. Oh, pod pengecasannya juga adalah 20% lebih ringan.

Saiz pod pengecasannya juga adalah lebih kecil dari 75t biasa. Rekaan juga adalah sama sahaja dan jika tidak diberitahu ini adalah variasi Active pasti sukar untuk membezakannya.

Kualiti Audio

Seperti sebelum ini, saya tetap akan bandingkan TWS Jabra ini dengan Sony WF-1000XM3. Harga jualannya RM949 atau boleh dapat lebih murah jika dibeli penjual luar. Jabra Elite Active 75t pula dijual pada harga RM999, yang mana jika ada diskaun atau promosi anda akan terima produk audio lain atau harga sekitar RM800 lebih. Untuk harga, Sony adalah lebih berbaloi kerana mempunyai pembatalan hingar aktif dan Jabra hanya pasif. Tetapi kegunaan kedua-dua ini adalah berbeza. Sony tiada perlindungan kalis air, tetapi Jabra ada.

Jabra walau bagaimanapun, mempunyai kualiti audio yang hebat. Pembatalan hingar pasifnya juga kekal berada di luar jangkaan. Dengan empat mikrofon terbina, ia menambah sokongan HearThrough untuk saya masih kekal mengambil perhatian apa yang berlaku di sekeliling. Mikrofon-mikrofon ini juga membantu untuk kualiti panggilan telefon yang amat jelas. Berbanding dengan Sony, beberapa aspek Elite 75t ini ia adalah lebih baik. Paling jelas bezanya adalah bass yang lebih enak, dalam dan kuat. Setiap muzik yang mempunyai nilai bass yang tinggi, mendengar muzik tersebut adalah lebih puas. Dentuman bass amat kencang dan puas.

Elite Active 75t ini juga mempunyai sound stage yang terbuka, yang mana memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Jika anda minat dengan muzik-muzik instrumental, bunyi setiap instrumen akan lebih mudah untuk dengar dan jitu. Kekuatan Jabra Elite Active 75t adalah pada muzik yang dinyanyikan oleh lelaki, ini kerana vokal lelaki adalah lebih enak didengar berbanding dengan wanita. Dengan kata lain, high pada TWS ini adalah baik-baik sahaja. Kemudian mid pula lebih natural dan sedap sahaja mendengar. Akhir sekali low adalah kuat, puas dan cukup dalam.

Selepas menjadikan TWS ini sebagai aksesori audio harian saya, saya tidak dapat bezakan langsung dengan Elite 75 yang biasa. Saya tidak temui mana-mana aspek yang jelas ada bezanya. Penggunaan pada Elite 75t saya perlu membuat penalaan terlebih dahulu pada aplikasi, tetapi pada versi Active tiada sebarang penalaan yang dilakukan. Mungkin kualiti audio dioptimasikan sedikit? Selepas beri rakan sekerja saya yang lebih pakar dalam hal audio, beliau juga tidak dapat membezakan antara dua ini.

Keselesaan walau bagaimanapun, ada sedikit perbezaan. Versi biasa pada saya jauh lebih selesa dan versi Active dilihat sedikit tajam dan lebih menyakitkan telinga saya jika digunakan pada jangka masa lama. Jabra turut menambah sokongan MySound dan MyControl khusu untuk model ini pada aplikasi Sound+ mereka. Dua fungsi ini sebelum ini tiada pada Jabra Elite 75t.

Ketahanan Bateri

Bateri saya sedar ada sedikit perubahan. Dengan cara penggunaan yang sama iaitu bertukar-tukar antara TWS lain – Jabra Elite Active 75t mempunyai ketahanan yang bagus sekali. Kali terakhir saya cas pod pengecasan TWS ini adalah seminggu yang lepas. Untuk penggunaan satu hari sekitar 30 minit mendengar muzik dan 1 jam panggilan telefon, hanya hari ini ketika ulasan ini sedang ditulis pod pengecasan mempunyai bateri 7% dan kedua-dua fon telinga mempunyai bateri 55%.

Bagi mereka yang pentingkan  bateri, usah risau kerana ia akan menjamin penggunaan yang berpanjangan.

Kawalan & Fungsi Pintar

Versi Active ini juga mengekalkan ciri dan fungsi yang sama pada versi biasa, iaitu benda-benda pintar. Salah satunya adalah mencari lokasi TWS, fungsi penalaan yang hebat, kawalan kecerdasan buatan untuk menentukan kaedah pendengaran seperti mod biasa, senyap atau mendengar bunyi di luar, khusus untuk tidur sahaja dengan bunyi-bunyi yang menenangkan dan banyak lagi. Ya, paling penting adalah ada paparan bateri bagi kesemua fon telinga dan juga pod pengecasan.

Konklusi

Amat ringkas, sebelum membuat keputusan membeli – tentukan bajet terlebih dahulu. Seterusnya, cari sebab kenapa dan inginkan apa? Jika anda mempunyai bajet yang tinggi, Jabra Elite Active 75+ memang boleh kami cadangkan – atas sebab kualiti audio yang enak, kuat, menarik dan pembatalan hingar pasif yang baik. Sony pula adalah untuk mereka yang ingin pembatalan hingar aktif yang hebat dan padu. Jika anda pentingkan kualiti, Jabra adalah pilihan bijak – lagi-lagi dengan jaminan 2 tahun tukar baharu.

Sejak menggunakan 65t dan beralih ke 75t, TWS dari Jabra adalah kegemaran saya ketika membuat panggilan telefon dan mendengar muzik yang santai. Agak jarang menggunakannya ketika menonton filem atau drama kerana keselesaan. TWS mana-mana jenis dalam telinga memang akan ada isu yang tidak selesa. Mungkin kelak Jabra boleh ubah rekaannya sedikit atau berikan silikon yang lebih tebal dan lembut.

Dengan kata lain, jika anda seorang yang gemar bersukan melakukan aktiviti lasak – Jabra ini adalah yang terbaik bagi menjamin ketahanan dan kualiti audio yang hebat. Rekaan yang lebih kecil dan lebih ringan juga menjadikan ia lebih mudah di bawa ke mana-mana sahaja.

Kelebihan

  • Kini menyokong MySound & MyControl untuk pengalaman lebih baik.
  • Kualiti audio yang sedikit lebih baik.
  • Rekaan yang lebih kecil.
  • Walaupun semakin kecil, bateri kekal tahan berpanjangan.
  • Kualiti panggilan telefon yang jelas dan terang.
  • Kini mempunyai perlindungan IP57.
  • Tambatan ke dua peranti serentak.

Kekurangan

  • Masih tajam dan tidak selesa untuk penggunaan lama.
  • Beza yang kecil, jika tidak diberitahu tidak akan tahu bezanya.
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
  • Harga masih mahal.

TIPS & ULASAN