Samsung Galaxy Buds Live Kini Rasmi – Fon Telinga Dengan Pembatalan Hingar Aktif

Samsung Galaxy Buds Live Kini Rasmi – Fon Telinga Dengan Pembatalan Hingar Aktif

Diterbitkan pada Ogos 5, 2020 oleh .

Fon telinga nirwayar Samsung Galaxy Buds Live akhirnya dilancarkan secara rasmi dengan rekaan kekacang. Seperti dijanjikan ini ialah fon telinga dengan sistem pembatalan hingar aktif pertama yang membolehkan ia bersaing dengan fon telinga premium lain di pasaran.

Walaupun menyokong pembatalan hingar, Buds Live tidak menggunakan rekaan putik audio yang dimasukkan ke dalam telinga. Dengan pemandu audio sebesar 12mm dan lohong udara khas, Samsung berkata pengalaman audio dengan bass yang padu boleh dinikmati.

Sementara itu tiga mikrofon mendukung sistem pembatalan hingar dan pada waktu yang sama membolehkan panggilan telefon yang jelas dilakukan. Dengan sekali caj setiap Buds Live boleh bertahan sehingga 6 jam atau sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecas. Pengecasan berwayar adalah menerusi port USB-C dan ia turut boleh dicas secara nirwayar.

Pengguna masih boleh mengawal mainan audio pada peranti menerusi sistem sesentuh. Muzik juga dijedakan dengan menekan tubuh fon telinga ini. Kerana sudah menjadi trend semasa untuk mengurangkan pencemaran. Buds Live diperbuat daripada bahan yang dikitar semula dan bolah dikitar semula dengan mudah.

Di Malaysia Samsung Galaxy Buds Live dijual pada harga RM699 sepasang tetapi tarikh jualan masih belum diumumkan kerana setakat ini ia hanya diberikan sebagai hadiah pra-tempahan untuk Note20 Ultra.



Paling Popular