Jika anda pembaca setia, sebelum ini kalau perasan kami ada berkongsi mengenai tarikh pelancaran untuk vivo iQOO 5 yang dijadualkan berlangsung pada 17 ogos. Terkini, iQOO 5 telah mula disenaraikan di kedai atas talian di China, JD.Com sekaligus, mendedahkan sejumlah spesifikasi yang menjadi titik fokus pada peranti ini.
Ternyata, spekulasi dan rumor sebelum ini adalah benar. Peranti ini akan dilengkapi sokongan pengecasan pantas 120W – melaluinya ia menjanjikan pengecasan penuh dalam hanya 15 minit sahaja. Ia sekaligus akan bantu menjimatkan lebih masa ketika proses pengecasan.
Selain itu, ia turut didatangkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 865. Kita sedia tahu, melaluinya ia menawarkan penjimatan tenaga sehingga 25%, selain turut meningkatkan kuasa sebanyak 25% pada CPU dan GPU. Seterusnya, iQOO turut mengesahkan peranti akan dilengkapi memori berasaskan LPDDR 5 dan storan berasaskan UFS 3.1.
Tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi peranti yang dikongsi. Namun begitu, peranti ini dipercayai menggunakan skrin berlubang bersama panel daripada Samsung dengan rekaan melengkung pada sisi dan skrin. Selain itu, ia juga dikhabarkan mempunyai kamera utama dengan tetapan empat lensa dan bateri sebenar 4,000mAh.