Kita boleh kata siri Samsung Galaxy A adalah antara model yang sering mendapat perhatian dalam kalangan pengguna. Sehingga kini, terdapat banyak pilihan peranti daripada siri ini yang berada di pasaran, dan ia dilihat seakan menambah sebuah lagi ahli baru tidak lama lagi.
Ia berikutan tersebarnya dakwaan mengatakan sebuah lagi peranti misteri Samsung dengan kod model SM-A426B telah ditemui di penanda aras Geekbench. Penyenaraian memperlihatkan ia mungkin didatangkan dengan Snapdragon 690, memori 4GB RAM dan menggunakan perisian Android 10 terkini. Ura-ura mengatakan ia mungkin dikenali sebagai Samsung Galaxy A42, kerana ia adalah nombor model yang sama dijumpai pada laman pensijilan 3C sekitar bulan lalu.
Kod nama ‘lito’ pada senarai adalah berkait rapat dengan Snapdragon 765G dan Snapdragon 690. Namun sumber berkata, GPU Adreno 619 yang ditemui pada peranti mempunyai kesinambungan dengan Snapdragon 690. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura. Tetapi rasanya, kita mungkin mendengar lebih lanjut mengenainya dalam masa terdekat ini.