Cari @ Amanz

Diantara berita terbesar pada minggu lepas ialah Softbank, syarikat pelaburan teknologi terbesar di Jepun sedang dalam perbincangan lanjut dengan NVIDIA untuk menjual pegangan pada syarikat pembuat cip terkemuka ARM.

Softbank dikatakan sedang mencuba untuk menjual pegangan mereka terhadap ARM untuk harga $55 bilion, jauh lebih tinggi berbanding apabila mereka membeli syarikat tersebut untuk $32 bilion sebelum ini.

Terkini, Nikkei Asian Review telah melaporkan bahawa Softbank kini sedang berbincang pula dengan dua lagi pembangun semikonduktor dan komponen elektronik terkemuka, iaitu Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan juga Foxconn untuk pengambilalihan syarikat ARM.

Tiada butiran lanjut yang diberikan mengenai perbincangan tersebut, tetapi Softbank dikatakan telah berkongsi maklumat kewangan dan pelan bisnes sama yang ditunjukkan kepada NVIDIA.

Buat masa ini, NVIDIA masih lagi satu-satunya syarikat yang dilaporkan serius ingin mengambil-alih ARM. TSMC mungkin satu-satunya syarikat lain yang mampu mengambil alih ARM pada harga yang diminta oleh Softbank.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd