Sehingga hari ini, peranti OnePlus walaupun menggunakan skrin AMOLED – ia tidak menyokong fungsi Always On Display. Sebelum melancarkan OnePlus 6, mereka ada bercadang untuk meletakkan fungsi ini – tetapi ia dibuang pada saat akhir. Alasan OnePlus adalah untuk mengelakkan masalah tunaskrin dan juga menjimatkan penggunaan bateri. Bulan Mac lepas, mereka sudah memaklumkan yang mula bersedia untuk memperkenalkannya pada peranti-peranti OnePlus.
Selepas OnePlus 8 dilancarkan, fungsi ini masih tidak muncul lagi. Tetapi bulan lepas, Pete Lau menciap di Twitter “11 “on display.”” – yang mana mengacah kehadiran Always On Display untuk Oxygen OS 11 atau Hydrogen OS 11 yang dibina berasaskan Android 11. Terkini di Weibo OnePlus, rekaan Always On Display ini telah diperlihatkan. Peranti seperti Xiaomi, Vivo, Oppo, Samsung dan Pixel dilihat tiada masalah pun mengimplementasikan fungsi ini, tetapi OnePlus bertahun lamanya masih tidak menemui jalan.
OnePlus turut memperlihatkan rekaan Always On Display mereka, yang mana kelihatan kemas dan elegan. Rekaan bergaris ini dilihat mempunyai informasi Digital Wellbeing terbina. Poster acah pula memperlihatkan lebih banyak lagi rekaan jam analog dan banyak lagi.
Syukur, 10 Ogos ini mereka akan melancarkan Oxygen OS 11 dan juga Hydrogen OS 11 yang mungkin juga adalah tarikh di mana pengguna boleh menguji beta terbuka. Fungsi ini berkemungkinan besar akan hadir bersama-sama dengannya. Bagi peminat OnePlus yang lama menginginkan fungsi ini, nantikan bersama-sama.