Selepas Samsung Experience, Samsung memperkenalkan OneUI yang mana adalah lebih elegan, mesra pengguna, antaramuka yang mudah digunakan dan lebih ringan. Ia juga dilihat mempunyai serba sedikit elemen Android asli, yang mana memudahkan Samsung mengedarkan kemaskini dengan lebih pantas. OneUI sudah semakin berkembang, yang mana versi 2.5 kini dijalankan pada siri Galaxy Note 20.
Terkini, Samsung dilihat sudah bersedia dengan Android 11 melalui ujian OneUI 3.0. Ujian ini adalah untuk pengguna Samsung Galaxy S20, S20+ dan juga S20 Ultra yang terpilih sahaja dan juga terhad di Amerika Syarikat dan Korea. Bukan itu sahaja, bagi mereka yang membeli set import – tidak semua variasi boleh menguji kerana ia terhad untuk beberapa variasi telco terpilih sahaja.
Amerika Syarikat dan Korea menjadi yang terawal kerana peranti Samsung di sana dijana dengan cip Snapdragon – jadi pembangunan perisian adalah lebih pantas berbanding versi Exynos. Samsung turut menjanjikan kemaskini bagi peranti mercu untuk tiga generasi semasa pelancaran siri Note20 – yang mana akan menggembirakan hati ramai peminat Samsung.