Cari @ Amanz

Bagai jatuh, kemudian ditimpa tangga. Itu mungkin perumpamaan yang paling sesuai untuk digunakan buat Intel sekarang selepas pelbagai laporan keluar mengenai isu terbaru yang membelenggu syarikat pembuat cip tersebut.

Tom’s Hardware melaporkan bahawa sebuah penyelidik sekuriti yang bernama Till Kottmann telah berkongsi sebuah pautan di Twitter yang mengandungi fail-fail sulit mengenai produk-produk Intel yang belum dilancarkan lagi.

Fail-fail tersebut, yang dianggarkan sebesar 20GB bukan sahaja mengandungi maklumat mengenai produk, tetapi juga kod sumber dan pelbagai rahsia syarikat mengenai bagaimana Intel membina cip-cip pemprosesan mereka.

Mengeruhkan keadaan lagi ialah pautan tersebut turut mengandungi kandungan sensitif seperti kerentanan yang diketahui Intel, tetapi tidak diumumkan lagi.

Menurut Till Kottmann, fail-fail ini diperolehi awal tahun ini, dan ada banyak lagi maklumat yang masih belum dikeluarkan untuk tatapan umum.

Pihak Intel pula mengesahkan bahawa fail-fail ini dicuri daripada bahagian Intel Resource and Design Center, iaitu sebuah laman web dimana banyak maklumat sulit mengenai pelbagai teknologi Intel disimpan.

Mereka juga berkata bahawa insiden ini mungkin berlaku kerana ada syarikat-syarikat yang bekerja dengan Intel digodam, dimana akses kepada laman web tersebut diperolehi.

Intel kini sedang menjalankan siasatan tentang bagaimanakah maklumat tersebut telah didedahkan tanpa diketahui sehingga kini. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai godaman data ini, anda boleh membaca laporan lebih lanjut mengenainya di sini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd