E Ink adalah syarikat yang menerajui teknologi paparan ePaper. Ia adalah paparan resolusi rendah yang menggunakan warna hitam dan putih. Paparan seperti ini kebiasaannya digunakan pada buku digital, tablet membaca seperti Kindle, telefon seperti Yota Phone, jam tangan pintar seperti Pebble dan banyak lagi. E Ink turut mempunyai beberapa variasi paparan berwarna yang menggunakan teknologi sama. Konsep paparan dari E Ink ini adalah kertas dalam bentuk digital.
Terkini, E Ink telah hadir dengan paparan boleh lipat ePaper bersaiz 10.3-inci. Secara tidak langsung menyertai era peranti dengan skrin boleh lipat seperti Samsung, Huawei atau Motorola. Jika anda mengikuti perkembangan teknologi, E Ink pada tahun 2017 pernah mengumumkan paparan yang sama – tetapi bersaiz 10.2-inci. Bezanya adalah, paparan 10.3-inci ini mempunyai lampu backlight bagi memudahkan pengguna kelak melihat di waktu malam atau di suasana yang gelap. Walau bagaimanapun, masih tiada pengeluar peranti yang menggunakan paparan ini pada sesebuah produk. Mungkin kelak, mana tahu Amazon akan memperkenalkan Kindle boleh lipat?