Carian
Google Docs, Sheets, Slides, GMail Hadir Dengan Fungsi Pintar Serba Baharu
August 7, 2020 Fahim Zahar

Google pada bulan lepas telah memperkenalkan fungsi Smart Compose dan Auto Correct untuk aplikasi-aplikasi Google Docs, Sheets dan Slides. Ketika ia diperkenalkan, fungsi ini terhad kepada pengguna G Suite for Education, G Suite Enterprise for Education dan G Suite for Nonprofits. Melalui fungsi ini ia dapat membantu pengguna untuk menaip dengan lebih pantas dan cekap. Kini, Google menambah lagi fungsi menarik dan pintar pada kesemua aplikasi ini bersama-sama dengan sokongan pada Microsoft Office.

Google Slides diberi kemaskini kemampuan menatal pembentangan secara menegak, agar lebih mudah untuk membaca serta lebih efisien. Pautan laman web yang disertakan pada dokumen seperti Google Doc, kini apabila diklik akan terpapar satu tetingkap berbentuk cards untuk pra-lihat laman web tersebut. Sokongan mod gelap turut diperkenalkan pada kesemua aplikasi Google ini, yang mana akan memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna.

Lebih menarik, Google turut bekerjasama dengan Microsoft untuk memudahkan lagi kerja-kerja menyunting dokumen-dokumen dari aplikasi Office. Bahagian komen pada Google Docs, Sheets dan Slides turut diubah rekaannya agar pengguna lebih mudah membaca dan fokus serta memudahkan lagi perbincangan antara rakan kerja. Pengguna turut boleh berinteraksi dengan komen dari GMail melalui sokongan dinamik yang dioptimasikan.

 

Kesemua fungsi ini akan tiba pada aplikasi Android dan juga iOS. Seperti biasa, pengguna G Suite akan menerimanya terlebih dahulu.

Komen