Kerentanan Cip Snapdragon Mendedahkan Berbilion Peranti Kepada Penggodam

Kerentanan Cip Snapdragon Mendedahkan Berbilion Peranti Kepada Penggodam

Diterbitkan pada Ogos 8, 2020 oleh .

Telefon pintar ialah komputer utama majoriti penduduk dunia dengan lebih 3 bilion peranti di gunakan secara aktif. Oleh itu ia kini menjadi platform pilihan untuk penggodam yang ingin mencuri data peribadi. Tetapi sebuah laporan dari Check Point mendedahkan berbilion peranti dengan cip Snapdragon terdedah kepada serangan penggodam kerana kerentanan sekuriti.

Lebih daripada 400 kerentanan sekuriti ditemui pada kod yang digunakan pada cip Digital Signal Processor (DSP) pemproses Qualcomm Snapdragon. Menerusi kerentanan ini penggodam boleh mengintip data peribadi, lokasi, kamera, fail, video dan juga panggilan telefon.

Aplikasi hasad turut boleh dipasang tanpa disedari oleh pemilik peranti. Ia juga memberikan peluang kepada penggodam membuatkan peranti langsung tidak boleh digunakan sehingga data peribadi hilang selama-lamanya.

Check Point telahpun menghubungi Qualcomm mengenai kerentanan ini sebelum laporan diterbitkan semalam. Qualcomm juga telah mengeluarkan empat tampalan sekuriti untuk mengelakkan sebarang masalah dari berlaku. Tampalan sekuriti ialah kritikal kerana Check Point menganggarkan 40% peranti pintar di pasaran sekarang mempunyai kerentanan ini.

Walaupun tampalan telah diberikan kepada pengeluar, ia masih perlu diberikan kepada pengguna. Pemberian kemas kini pada platform Android yang tidak secara serentak merumitkan situasi ini. Oleh sebab itulah Check Point hanya berkongsi kerentanan yang ditemui dengan Qualcomm sahaja bagi mengurangkan risiko ia digunakan oleh penggodam sebelum tampalan sekuriti diberikan kepada semua peranti.



Paling Popular