Cari @ Amanz

Jam tangan pintar dari Garmin adalah jam yang memfokuskan untuk pengguna yang kerap melalukan aktiviti lasak, seperti mendaki, berbasikal, berkhemah, yang menghabiskan masa melakukan aktiviti berhari-hari – atau senang cerita mereka yang gemarkan aktiviti ekstrem. Ini kerana, harga jualannya yang tinggi dan ia mempunyai sasaran tertentu untuk siapa yang patut membeli peranti boleh pakai dari Garmin ini. Mengekalkan nama Garmin itu sendiri, kebanyakan jam mereka mempunyai GPS terbina.

Terkini, mereka telah melancarkan versi Solar untuk beberapa jam tangan pintar mereka di Malaysia. Garmin Instinct Solar, Garmin Instinct Solar Tactical, fēnix 6X Solar, fēnix 6S Pro Solar dan fēnix 6 Pro Solar adalah jam yang kini boleh dibeli di Malaysia. Secara keseluruhannya, jam ini sama sahaja dengan sebelum ini – cuma skrinnya mempunyai panel solar terbina bagi menambah lagi jangka hayat bateri. Ia masih lagi perlu dicas menggunakan pengecas tersendiri, masih lagi mempunyai kapasiti bateri yang sama. Tetapi apabila ia sedang digunakan di luar misalnya ketika sedang bersukan, tahap bateri itu berkurangan mengambil masa lebih lama  – secara tidak langsung menjadikan ketahanan jam ini lebih lama dari biasa.

Untuk siri Instinct Solar, setiap daripadanya kini mempunyai fungsi Pulse OX² untuk mengukur tahap oksigen dalam badan, ada versi Tactical yang menjadikan skrin lebih mesra digunakan ketika menggunakan gogal penglihatan malam, dan ada GPS yang boleh memberi koordinat jitu. Seperti fēnix 6 sebelum ini, Instinct Solar turut kini mempunyai Body Battery yang boleh memberitahu baki tenaga yang dipelihara oleh badan pengguna. Garmin Insticnt Solar dan versi Tactical ditawarkan dalam warna Graphite, Tidal Blue, Sunburst, Black, Moss dan juga Camo. Rekaannya adalah seakan G-Shock.

fēnix 6X, 6S Pro dan 6 Pro pula adalah sama sahaja dengan sebelum ini, perubahan ketara adalah skrin Solar dan beberapa aktiviti sukan tambahan seperti meluncur, berbasikal di gunung atau mendaki di kawasan tertutup. Ketahanan bateri juga adalah lebih kurang sama sahaja, cuma dengan adanya Solar ini ia boleh memberi hampir dua kali ganda ketahanan bateri – begitu juga dengan Instinct.

Harga jualan untuk versi Instinct adalah RM1,999, Tactical dan Camo adalah RM2,1999, fēnix 6S Pro dan 6 Pro pula adalah RM4,199.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd