Cari @ Amanz

Sebelum ini, ia telah dilaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat akan mengharamkan sebarang bentuk perniagaan di negara tersebut dengan dua syarikat teknologi besar dari China, iaitu Bytedance dan juga Tencent melalui aplikasi-aplikasi TikTok dan WeChat.

Ming-Chi Kuo, penganalisa industri yang terkenal untuk ramalan mengenai peranti-peranti Apple mengatakan bahawa terdapat dua senario dimana Apple akan mengalami penurunan yang banyak dari segi penghantaran peranti Apple ke pasaran global akibat arahan tersebut.

Menurut beliau, ada dua senario terbaik dan terburuk dimana penghantaran domestik dan global terjejas akibat arahan eksekutif terbaru tersebut.

Pertama ialah jika arahan pengharaman penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut terhad kepada pasaran Amerika Syarikat sahaja. Ini adalah senario terbaik buat Apple, kerana penurunan penghantaran peranti adalah pada skala yang minima, kerana aplikasi WeChat tidak begitu meluas penggunaannya di pasaran Amerika Syarikat.

Senario yang lebih teruk buat Apple ialah jika arahan tersebut merangkumi pasaran global, khususnya pasaran China juga. Ming-Chi Kuo menjangkakan jika senario paling teruk ini berlaku, Apple akan dipaksa untuk mengurangkan penghantaran global peranti iPhone sebanyak 30 peratus.

Apple iPhone SE

Di negara-negara seperti China, WeChat bukan sahaja sebuah aplikasi permesejan, tetapi juga adalah platform produktiviti, pembelian atas-talian, pembayaran, media sosial dan berita. Tanpa WeChat, ia boleh dikatakan bahawa sebarang peranti pintar akan kehilangan sebahagian besar daripada kegunaannya. Kehilangan pasaran China akan menjadi kerugian besar buat Apple kerana ia adalah diantara pasaran terbesar syarikat tersebut di luar Amerika Syarikat.

Jika kes senario paling terus ini berlaku, aksesori-aksesori Apple lain seperti AirPods dan Apple Watch juga akan merudum akibat penurunan mendadak penjualan peranti iPhone.

Menurut Macrumors, arahan eksekutif tersebut tidak akan bermula sehingga 20 September kelak. Sehingga tarikh tersebut, kerajaan Amerika masih mempunyai masa untuk menerangkan, mengubah ataupun membatalkan arahan eksekutif yang diumumkan.

Syarikat-syarikat teknologi Amerika yang melakukan bisnes dengan syarikat-syarikat China harus menunggu dengan nafas berdegup untuk melihat sama ada mereka benar-benar perlu memutuskan hubungan yang terjalin selama ini dalam masa yang singkat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd