OnePlus akhirnya membawa sokongan Always On Display untuk peranti mereka. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro akan menerimanya terlebih dahulu. Tetapi kemaskini semua adalah terhad untuk pengguna China sahaja, kerana OnePlus umumkan Hydrogen OS 11 sebelum Oxygen OS 11. Tetapi usah risau, apa yang anda lihat pada Hydrogen OS 11 adalah sama sahaja dengan Oxygen OS 11 – membezakannya adalah aplikasi terpasang, bahasa dan GMS sahaja.
https://youtu.be/dcGKsiCmwq4
Hydrogen OS 11 adalah sistem operasi OnePlus yang baharu yang dibina berasaskan Android 11. Dari segi keseluruhan, ia dilihat masih seakan sama tetapi dengan sedikit perubahan. Melalui video acah yang diberikan, aplikasi cuaca dan album dilihat diperbaharui dengan animasi baru dan lebih interaktif. Bukan itu sahaja, mod gelap kini menggunakan piawaian WCAG yang mana adalah lebih mesra untuk mereka yang ada masalah penglihatan. Aplikasi galeri juga dilihat lebih pintar, mungkin kemampuan seakan Google Photos, turut kelihatan adalah aplikasi perakam suara – yang mirip Pixel.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, mod Zen baharu yang menyokong multi-pengguna turut akan diperkenalkan. Antaramuka mengekalkan identiti sama, tetapi elemen cards dengan bucu yang melengkung dilihat banyak digunakan. Ia menjadikan rekaan lebih enak dilihat dan mesra pengguna. Hydrogen OS 11 khusus untuk pengguna di China pada peranti OnePlus 8 dan 8 Pro terlebih dahulu. Nantikan pengumuman untuk Oxygen OS 11 pula yang mungkin akan menyokong lebih banyak peranti lagi.