Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba produktiviti premium dengan rekaan nipis dan padat, ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ASUS ZenBook 13 dan 14 yang dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru kini di pasaran tempatan.
Sama seperti model-model sebelum ini, ASUS ZenBook terbaru ini hadir dengan rekaan yang sangat nipis dan ringan. Pada ketebalan 1.39cm dan berat 1.13kg sahaja, dengan paparan bersaiz 13 dan 14 inci, komputer riba ini sangat mudah untuk dibawa kemana-mana tanpa memakan ruang tidak kira jenis beg yang digunakan.
Penggunaan panel LED dan teknologi paparan NanoEdge Display yang memaksimakan saiz panel memberi pengguna ruang kerja yang terbesar didalam rangka komputer riba yang padat.
Semua komputer riba ASUS ZenBook 13 dan 14 dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi kesepuluh Ice Lake daripada model Intel Core i5-1035G1 dan Intel Core i7-1065G7. ASUS ZenBook 13 dan 14 ini dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD PCIe 3.0 sebanyak 512GB yang sangat pantas.
Dari segi I/O, ASUS ZenBook 13 dan 14 hadir dengan satu palam USB 3.2 Type-A, dua palam Thunderbolt 3 Type-C, satu palam HDMI 2.0 dan satu pembaca kad microSD terbina.
Dalam pada itu, komputer riba ASUS ZenBook ini juga hadir dengan ciri ASUS NumPad digital, iaitu ciri butang kekunci nombor digital yang menggunakan pad sesentuh untuk membolehkan mereka mengekalkan rekaan yang serba padat ini, tetapi masih lagi memuatkan ciri-ciri tambahan seperti ini.
Diantara ciri-ciri tambahan yang diperlihatkan pada ASUS ZenBook 13 dan 14 ini juga ialah sokongan untuk WiFi6 yang menjanjikan sambungan internet nirwayar yang sangat pantas. Walaupun begitu, satu kompromi yang paling ketara pada komputer riba ini adalah ketiadaan palam audio 3.5mm.
ASUS juga menjanjikan jangka hayat bateri selama 22 jam dengan satu pengecasan penuh. Ini sangat berguna, khususnya untuk mereka yang hanya mahu membawa sebuah komputer riba keluar untuk tugasan, dan tidak mahu risau tentang keperluan untuk membawa aksesori pengecasan.
Menurut ASUS Malaysia, siri komputer riba ASUS ZenBook 13 dan 14 ini boleh mula dibeli di kedai atas-talian seperti Shopee pada harga permulaan RM3999 untuk model ASUS ZenBook 13 dan 14 yang dikuasakan Intel Core i5-1035G1 dan RM4699 untuk model yang dikuasakan CPU Intel Core i7-1065G7.