Komputer riba yang memfokuskan terhadap permainan video dilihat semakin hari semakin mendapat tempat di kalangan pengguna. Kita juga dapat lihat ketika ini semakin banyak pilihan komputer riba sebegini yang membanjiri pasaran.
Redmi nampaknya tidak mahu kalah dan mengambil langkah berani untuk menceburi dalam segmen ini dengan memperkenalkan siri komputer riba gaming Redmi G Gaming Notebook. Peranti ini bakal menjadi komputer riba gaming pertama daripada Redmi dan ia dijadualkan muncul secara rasmi di China pada 14 Ogos ini.
Poster acah telah mula dikongsi dan ia memberi gambaran kasar mengenai rekaannya yang dilihat hadir dengan binaan bezel nipis pada bahagian sisi dan atas.
Ia turut dilihat mempunyai dagu besar pada bezel bawah yang menempatkan penjenamaan “Redmi G”. Rekaan dagu sebegini sudah menjadi ‘adat’ pada sesebuah komputer riba yang memfokuskan pada permainan untuk tampil berbeza.
Redmi dilihat masih berteka-teki mengenai spesifikasinya. Namun begitu, komputer riba ini dipercayai membawakan paparan skrin bersaiz 15-inci dan menyokong papan kekunci penuh dengan sokongan pencahayaan RGB.