Carian
Microsoft Surface Duo Akan Mula Dijual Pada 10 September Pada Harga $1399
August 12, 2020 Nazrin

Pagi tadi, kami melaporkan bahawa video acah dan rekaan untuk peranti terbaru keluaran Microsoft, iaitu Microsoft Surface Duo telah diperlihatkan.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai peranti ini, kecuali bahawa ia mempunyai dua paparan AMOLED yang dinamakan PixelSense Fusion dengan resolusi 1800×1350 bersaiz 5.6 inci yang digabungkan dengan engsel 360 darjah yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah tablet kecil bersaiz 8.1 inci.

Menariknya, ini adalah peranti jenama Surface pertama yang menggunakan sistem operasi Android yang dimuatkan dengan aplikasi keluaran Microsoft seperti Microsoft 365.

Spesifikasi penuh peranti Surface Duo juga telah diperlihatkan. Ia dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 855, memori sebanyak 6GB dan storan dalaman sebesar 256GB.

Dari segi rekaan kamera pula, Surface Duo ini dilengkapi dengan satu kamera 11MP dengan bukaan lensa f/2.0 dengan kebolehan merakam video pada resolusi Full HD 60FPS dan juga 4K 30FPS.

Dari segi bateri, apa yang menarik mengenai Surface Duo ialah ia mempunyai dua bateri dengan kapasiti penuh 3577mAH.

Bateri ini dipisahkan menjadi dua unit untuk menguasakan setiap bahagian paparan Surface Duo ini. Microsoft juga menjanjikan jangka-hayat bateri selama 15 jam dengan satu pengecasan penuh.

Microsoft telah mengesahkan melalui blog mereka bahawa peranti ini akan mula dijual pada 10 September kelak pada harga permulaan $1399 (~RM5600). Microsoft juga tidak memberitahu jika Surface Duo ini akan tiba di pasaran-pasaran selain daripada Amerika Syarikat.

Komen