Dua tahun dahulu, Intel mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan siri kad grafik mereka sendiri, yang dinamakan Intel Xe. Sejak ia diperkenalkan, Intel telah membina beberapa konfigurasi cip pemprosesan grafik ini untuk pusat data, dan juga untuk cip pemprosesan mudah-alih yang akan diperlihatkan pada CPU Intel Tiger Lake tidak lama lagi.
VideoCardz baru-baru ini telah meniriskan maklumat lanjut mengenai perkembangan teknologi grafik Intel, dan terkini, mereka nampaknya sedang membangunkan sebuah kad grafik untuk pasaran pengguna premium yang dinamakan Intel Xe-HPG.
Buat masa ini, tidak banyak butiran yang hadir mengenai kad grafik Intel Xe-HPG ini, tetapi menurut sumber dalaman Intel, kad grafik ini akan menggunakan memori GDDR6, dan akan hadir dengan kebolehan Ray-Tracing masa nyata, sama seperti apa yang diperlihatkan melalui siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX dan juga kad grafik RDNA2 keluaran AMD tidak lama lagi.
Ia dijangka bahawa Intel akan mula mengeluarkan siri kad grafik ini pada tahun 2021 kelak. Ia juga akan dibangunkan oleh parti ketiga dan bukan oleh Intel sendiri. Walaupun begitu, Intel sendiri masih akan menguji prestasi dan kemampuan cip pemprosesan grafik tersebut di makmal mereka sendiri.