Apple telah mengeluarkan iPhone sejak 2007 dan ia adalah peranti pintar pertama yang menggunakan skrin sesentuh. Kewujudannya mengubah landskap dunia telefon mudah alih dan kerap kali rekaannya menjadi inspirasi kepada peranti lain di pasaran. Tetapi di Brazil lain pula ceritanya.
Tanda dagang iPhone telah difailkan oleh Gradiente Group kepada badan harta intelek Brazil pada tahun 2000. Sejak itu mereka telah mengeluarkan beberapa telefon mudah alih termasuk yang menggunakan Android menggunakan nama iPhone. Apple hanya dibenarkan menjual telefon pintar di Brazil menggunakan nama iPhone sejak 2013 selepas mendapat kebenaran mahkamah.
Tetapi kini Gradiente Group ingin menentang keputusan mahkamah pada tahun 2018 yang membenarkan Apple untuk terus menggunakan nama iPhone pada telefon pintar di Brazil. Kes kini akan didengari di Mahkamah Tinggi Brazil untuk menetapkan siapakah yang mempunyai hak untuk menggunakan tanda dagang iPhone secara eksklusif di negara tersebut.
Gradiente Group merasakan adalah tidak adil sekiranya Apple dibenarkan menggunakan nama iPhone sedangkan mereka lebih awal memfailkan tanda dagang, Apple pula merasakan badan yang menguruskan harta intelek Brazil hanya meluluskan permohonan tanda dagang oleh Gradiente pada tahun 2008 selepas iPhone dilancarkan dan bukannya pada tahun 2000. Bilakah keputusan akan diberikan masih belum diketahui tetapi
Grandiente dipercayai hanya ingin Apple membayar lesen menggunakan tanda dagang iPhone seperti yang dilakukan dengan Cisco. Tanda dagang iPhone dan iOS sebenarnya dipegang oleh Cisco (menerusi pembelian Linksys). Kedua-dua syarikat menandatangani persetujuan untuk membenarkan penggunaan kedua-dua tanda dagang sejak 2012.