Selain Google Maps, kita boleh kata aplikasi Waze juga memiliki kelompok penggunanya yang tersendiri. Namun begitu, ia bukan alasan untuk aplikasi ini terus mendabik dada. Sebaliknya, aplikasi ini dilihat terus-menerus menyediakan yang terbaik dengan memberikan lebih banyak ciri baharu lebih berguna.

Paling terkini, Waze memperkenalkan ciri amaran untuk landasan kereta api pula. Melaluinya ia akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat landasan kereta api berdekatan dengan laluan yang diambil. Sebenarnya, fungsi ini sangat berguna terutamanya bagi mereka yang sering menggunakan jalan atau lokasi berdekatan dengan kawasan landasan kereta api yang gelap.
Ia sebenarnya diperkenalkan bertujuan bagi memastikan pengguna lebih waspada ketika memandu. Sekaligus, turut membantu dalam mengurangkan peratusan kemalangan yang membabitkan kawasan landasan kereta api. Fungsi ini tersedia di sejumlah negara termasuk Malaysia dan boleh di akses pada peranti Android dan iOS.