Telegram mula menyokong panggilan suara pada tahun 2017, yang mana dua tahun selepas WhatsApp mengumumkan fungsi ini. Walaupun WhatsApp ada banyak meniru Telegram, penggunaan WhatsApp kekal paling tinggi berbanding Telegram. Sokongan panggilan video pula disokong WhatsApp dan ia tiada pada Telegram. Sedangkan zaman Covid-19 dan norma pembatasan sosial ini ramai mencari alternatif panggilan video – Telegram tertinggal jauh ke belakang.

Terkini, Telegram akhirnya menguji kemampuan membuat panggilan video. Ia hadir dalam versi beta terkini iaitu v7.0. Amat ringkas, hanya tekan nama kenalan > tekan menu tiga titik > tekan Video Call dan selesai. Antaranuka panggilan video ini juga mudah digunakan, terdapat Flip untuk menukar antara kamera, Stop Video untuk mematikan kamera, Mute untuk mematikan audio, End Call untuk mematikan panggilan video dan ada butang loudspeaker di bahagian atas. Keunikan pada panggilan video ini adalah sistem sekuriti melalui emoji. Jika emoji pada skrin panggilan anda sama dengan skrin di penerima – ia bermaksud yang panggilan video ini adalah selamat.

Ia juga menyokong mod gambar-dalam-gambar yang mana anda boleh teruskan panggilan telefon sambil menggunakan peranti atau sambung membalas mesej di Telegram. Satu perkara yang leceh mengenai panggilan video Telegram ini adalah, ujian beta ini hanya untuk pengguna beta. Telegram beta pula bukan mudah untuk dimuat turun, kerana mereka tidak menggunakan Play Store – sebaliknya menerbitkan APK beta mereka di Microsfott Repo. Bila ia akan menjadi stabil, itu tiada kepastian lagi. Ini kerana dalam percubaan tadi, ia tidak begitu stabil dan kualiti video agak teruk seakan kamera rosak. Ada yang melaporkan audio tidak berfungsi. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.