Microsoft Surface Duo Tidak Akan Memasuki Pasaran Tempatan Dalam Masa Terdekat

Microsoft Surface Duo Tidak Akan Memasuki Pasaran Tempatan Dalam Masa Terdekat

Diterbitkan pada Ogos 13, 2020 oleh .

Semalam kami melaporkan bahawa Microsoft akhirnya telah memperkenalkan peranti dwi-skrin Microsoft Surface Duo secara rasmi.

Ia hadir dengan dua paparan skrin bersaiz 5.6 inci yang boleh dilipat dan dibuka untuk menjadikannya sebuah tablet bersaiz 8.1 inci. Ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 855 dan menggunakan sistem operasi Android.

Pihak Microsoft turut mengumumkan bahawa ia akan dilancarkan pada 10 September kelak pada harga permulaan $1399 untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja terlebih dahulu.

Hari ini, kami bertanya kepada salah satu pembekal peranti Microsoft untuk pasaran Malaysia jika Surface Duo ini akan dijual disini.

Sayangnya, kami diberitahu bahawa pembekal-pembekal tempatan tidak akan membawa masuk peranti ini buat masa ini, kerana peranti tersebut, yang boleh dikatakan sebuah peranti pintar dengan dua paparan bukanlah sesuatu yang biasanya dibawa masuk oleh mereka.

Surface Duo Topdown

Harga kos yang tinggi peranti dan tahap permintaan yang tidak diketahui juga boleh dikatakan sebab mengapa ia tidak akan tiba dalam masa yang terdekat ini.

Walaupun begitu, ini mungkin hanya untuk masa terdekat, dan mungkin jika mereka melihat bahawa permintaan untuk peranti ini semakin meningkat, mereka akan mengubah fikiran dan membawanya masuk walaupun dengan kuantiti yang terhad.



Paling Popular