Starbucks Khusus Untuk Golongan Pekerja Dibuka Di Tokyo Lengkap Dengan Bilik Telesidang

Starbucks Khusus Untuk Golongan Pekerja Dibuka Di Tokyo Lengkap Dengan Bilik Telesidang

Diterbitkan pada Ogos 13, 2020 oleh .

Di zaman awal operasi Amanz, kami kerap menggunakan Starbucks sebagai ruang pejabat untuk melakukan mesyuarat bulanan kerana ianya selesa dan menawarkan WiFi percuma. Ia adalah premis perniagaan yang amat mesra untuk melakukan pertemuan separa formal. Di Jepun, sebuah Starbucks telah dibuka khusus untuk golongan pekerja bulan lalu.

Cawangan ini dibuka di Circles Ginza, Tokyo adalah yang pertama direka dengan kerjasama Think Lab untuk pelanggan yang ingin melakukan kerja di luar pejabat. Di tingkat pertama terdapat rung biasa untuk memesan minuman dan makanan. Di tingkat kedua terdapat ruang untuk melakukan kerja secara berkumpulan sehingga 12 orang dan pod khas untuk bekerja seorang diri.

Menariknya setiap pod ini mempunyai palam kuasa tersendiri bagi mengelakkan pelanggan berebut sumber kuasa. Bagi meningkatkan produktiviti, ruang dalaman restoran dilimpahi cahaya semula jadi dan juga dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau. Untuk menggunakan ruang pejabat pelanggan perlu terlebih dahulu melakukan tempahan menerusi aplikasi ThinkLab dengan ruang disewa dalam blok 15 minit.

Bagi mereka yang memerlukan kelengkapan telesidang, beberapa pod khas turut ditawarkan. Starbucks membuka restoran khas ini selepas mendapat maklum balas pelanggan profesional yang inginkan ruang bekerja luar pejabat yang selesa.



TIPS & ULASAN