Dengan harga jualan hampir $1400 sebuah, Microsoft Surface Duo ialah antara telefon pintar dengan harga jualan tertinggi di dunia. Ini adalah kerana ia adalah peranti unik dengan dwi-skrin yang boleh berputar 360 darjah. Kepada mereka yang ingin memiliki peranti ini, anda boleh menghela nafas lega kerana ia akan dapat digunakan sekurang-kurangnya selama tiga tahun.

Microsoft mengesahkan Surface Duo akan menerima kemas kini sistem operasi dan sekuriti selama tiga tahun. Ini meletakkannya setanding dengan peranti Google Pixel dan model mercu keluaran Samsung. Tiga tahun ialah tempoh sokongan yang lama bagi Android tetapi masih di belakang iOS yang menyokong peranti sehingga lima tahun selepas tarikh pelancaran.
Bagi mereka yang masih mendambakan Surface Duo, berita buruknya ialah ia tidak akan dibawa masuk secara rasmi oleh Microsoft ke Malaysia dalam masa terdekat.