Cari @ Amanz

Seperti yang dijanjikan, Redmi akhirnya memperkenalkan komputer riba memfokuskan permainan pertama mereka. Dikenali sebagai Redmi G Gaming, siri ini hadir dengan penawaran skrin kadar segar semula mencapai 144Hz dan tersedia dalam tiga variasi sebagai pilihan buat pengguna.

Ketiga-tiga variasi membawakan spesifikasi yang sama seperti penggunaan skrin berukuran 16.1-inci LCD dengan resolusoi FHD (1920 x 1080 piksel). Paparan ini turut dilengkapi sokongan ciri tambahan seperti sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan 300nits, nisbah skrin-ke-badan mencecah 81%, sudut pandang mencecah 178 darjah dan perlindungan anti-silau.

Seterusnya, penawaran memori juga sama dengan sokongan 16GB (2 x 8GB) 2933MHz DDR4 RAM dan 512GB PCIe × 4 NVMe SSD (sehingga 2TB). Spesifikasi lain termasuklah sistem penyejukan dengan dwi-kipas, audio dengan sokongan DTS:X Ultra 3D Sound, perisian Windows 10 dan bateri 55Whr. Untuk pilihan I/O, ia dilengkapi 1 x USB 2.0, 2 x USB 3.0 Gen2, 1 x USB Type-C, 1 x Mini DP 1.4, 1 x HDMI 2.0 dan bicu audio 3.5mm.

Ketiga-tiga model juga dilengkapi cip pemproses cip Intel Core generasi ke-10. Namun begitu, apa yang membezakan antara ketiga-tuga peranti ini terletak pada penggunaan pemproses dan kad grafiknya. Untuk varian asas, ia didatangkan dengan cip pemproses Intel Core i5-10200H dengan paduan GPU NVIDIA GeForce GTX 1650. Kemudian, varian sederhana hadir dengan Intel Core I5-10300H dan grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti. Manakala, variasi tertinggi pula menggunakan Intel Core i7-10750H bersama GPU NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti.

Seperti yang dikatakan di awal perenggan, siri komputer riba ini hadir dengan skrin kadar segar semula mencecah 144Hz yang mana tersedia pada varian tertinggi. Manakala, varian asas hanya didatangkan dengan skrin kadar segar semula 60Hz sahaja.

Siri Redmi G Gaming Laptop ditawarkan pada harga RMB5,299 (~RM3,196) untuk versi asas, RMB6,299 (~RM4,000) untuk versi sederhana dan RMB6,999 (~RM4,222) untuk versi tertinggi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd